Monday, November 25, 2013

Mahkamah Syariah Nasihat Bapa, Anak Lelaki Selesai Isu Nafkah Secara Baik

Mustafa Ismail berbincang sesuatu dengan peguamnya, Fazru Anuar Yusof (kiri) di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam.
Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu  meminta pertelingkahan antara bapa dan anak berkaitan tuntutan nafkah, yang berlarutan sejak tiga tahun lepas, diselesai secara baik mengikut adab timur dan syariat Islam.

Hakim Rosdi Harun menasihati Nasrun Mustafa, 40, dan Mustafa Ismail, 67, berbincang dan merungkai kemelut keluarga secara berhemah kerana kes itu tidak akan dibicara di mahkamah bagi tempoh yang panjang jika mereka saling bertolak ansur.

Beliau kemudian menetapkan 23 Dis untuk menyebut semula kes itu. Mustafa memfailkan permohonan untuk memenjarakan anaknya kerana ingkar perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah berjumlah RM18,866.50.


Semalam,  mahkamah dijadual mendengar keterangan Nasrun, seorang pengurus syarikat cari gali minyak, bagi menjawab notis tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipenjara.

Berdasarkan keterangan pada 13 Julai 2010, Mustafa menuntut Nasrun, yang dikatakan berpendapatan tidak kurang daripada RM17,000 sebulan, membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya, Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18, selama tujuh tahun iaitu sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Terengganu.

Mustafa, dari Kampung Beladau Kolam, Manir juga memohon perintah agar Nasrun memberi nafkah sebanyak RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan kedua-dua cucunya.

No comments:

Post a Comment