Tuesday, November 12, 2013

Exxonmobil Malaysia Sumbang RM184,800 Kepada 264 Pelajar Cemerlang

Sebanyak 264 pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga miskin di negeri ini menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.

Daripada jumlah itu, 120 murid Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga (RM700), manakala 48 pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).

"Sejak program ini dimulakan pada tahun 1981, ExxonMobil telah memilih pelajar cemerlang di kalangan keluarga miskin di sekitar Kemaman yang dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

"Namun, bermula 2007, kerajaan negeri Terengganu telah meminta ExxonMobil memperluaskan pemberian bantuannya ke semua daerah di Terengganu dan hasilnya, rakyat seluruh Terengganu yang berkelayakan menerima pengiktirafan ini," kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2013, di Taman Tamadun Islam, di Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia merangkap Pengerusi EMESF, Fatimah Merican yang turut hadir pada majlis itu, berkata ExxonMobil memperuntukkan RM1 juta setiap tahun untuk memperkasakan bidang pendidikan di Terengganu.

Kriteria yang melayakkan pelajar menerima sumbangan itu ialah keluarga yang berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan dan menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.

No comments:

Post a Comment