Tuesday, November 12, 2013

YPKT Laksana Skim Baharu Tahun Depan

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memperkenalkan satu skim baharu tahun depan untuk pengesahan jawatan kontrak dan kenaikan gaji yang bakal memberi manfaat kepada lebih 500 kakitangannya.

Daripada jumlah itu, 368 guru Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, yang berjawatan kontrak bakal diserapkan ke jawatan tetap, mulai Januari tahun depan. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata melalui pelaksanaan skim itu kesemua guru taska akan menikmati kemudahan sama seperti kakitangan awam tetap lain kecuali pencen.

"Mereka yang berkhidmat lebih 10 tahun di samping mendapat markah perkhidmatan cemerlang lebih 85 peratus selama tiga tahun berturut-turut layak untuk dipertimbangkan bagi jawatan tetap tanpa pencen itu. 

"Di peringkat Lembaga Jawatankuasa Pelantikan dan Kenaikan Pangkat YPKT, kita telah bersetuju untuk menyerap guru berkelayakan ke jawatan tetap memandangkan mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dan sudah lama berkhidmat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011/2012 YPKT di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, 82 pegawai dan kakitangan menerima anugerah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil. Turut hadir Pengarah YPKT Mohd Safaruddin Mustaffa.

Bagaimanapun, Mazlan menegaskan pengesahan jawatan tetap itu akan dirujuk kepada Lembaga Pemegang Amanah YPKT yang dipengerusikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said terlebih dahulu serta kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelantikan dan Kenaikan Pangkat YPKT berkata yayasan itu turut bersetuju menyediakan skim khas kepada 185 pendidik dan pembantu pendidik di taska bagi bayi berumur dua bulan hingga empat tahun yang mempunyai ijazah dan diploma pula gaji mereka dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,400 sebulan.

"Bagi pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,100 sebulan.

"Selain itu gaji pembantu sajian juga akan diselaraskan sebagaimana arahan kerajaan pusat mengenai pembayaran gaji minimum daripada RM600 kepada RM900 sebulan," katanya.

No comments:

Post a Comment