Saturday, November 9, 2013

Guru Wanita Di Kemaman Rugi RM15,000

Kegembiraan seorang guru wanita menyertai lawatan sekolah ke Kuala Lumpur bertukar duka kerana terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000 selepas rumahnya di Kampung Baru Kerteh yang ditinggalkan selama tiga hari dipecah masuk pencuri.

Mangsa yang berusia 41 tahun berputih mata apabila seutas gelang tangan berlian, seutas rantai leher, empat bentuk cincin dan dua utas jam tangan lelaki masing-masing berjenama Tissot dan Tag Heuer lesap. 

Kejadian disedari mangsa ketika tiba di rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi, kelmarin, selepas mendapati tingkap bilik tidur anaknya diumpil.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa mula meninggalkan rumahnya kira-kira jam 10.30 malam, pada 3 November lalu dalam keadaan pintu dan tingkap berkunci. 

"Selepas mendapati tingkap bilik tidur anak diumpil, mangsa segera memeriksa rumah dan mendapati beberapa barang kemas dan jam tangan berjenama hilang yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM15,000.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kerteh. Hasil siasatan awal, polis dapati suspek memecah masuk dengan membengkokkan kunci jeriji tingkap bilik tidur anak mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek menceroboh rumah mangsa antara jam 10.30 malam, pada 3 November hingga awal pagi kelmarin.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh hingga 14 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment