Friday, November 22, 2013

Hudud, Syiah Dan Tahaluf Siyasi Antara Isu Dibangkit Perwakilan Muktamar PAS

Muktamar Dewan Ulama PAS yang berlangsung semalam  panas apabila isu seperti hudud, syiah dan 'tahaluf siyasi' iaitu kerjasama politik dalam pakatan PAS-PKR-DAP dibangkitkan ramai perwakilan.

Jelas, isu-isu yang dibangkitkan di muktamar Dewan Ulama mendapat perhatian penuh 600 anggota perwakilan yang datang dari kira-kira 150 kawasan seluruh negara.

Berhubung hukum hudud, seorang perwakilan Siddiq Nor mendedahkan kepada umum bahawa ada di kalangan pemimpin PAS yang tidak yakin dengan pelaksanaan hukum hudud, yang menjadi asas perjuangan parti itu selama ini.

Tanpa menamakan pemimpin berkenaan, beliau berkata terdapat juga pemimpin yang tidak mahu PAS berbicara mengenai hukum hudud di khalayak umum kerana dikhuatiri akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti itu.

"Macam mana kita nak meyakinkan orang bukan Islam tentang hukum hudud kalau ada di kalangan pemimpin kita sendiri tidak yakin dengan hudud dan ada yang tidak mahu hudud disebut kerana nanti orang tak undi parti? Bagaimana kita hendak menang kalau kita sendiri tidak yakin dengan hukum Allah?" katanya semasa sesi perbahasan di Shah Alam, semalam.

Perwakilan turut bertindak berani apabila mendesak PAS melakukan tinjauan di negara-negara yang melaksanakan hudud seperti Brunei memandangkan Enakmen Jenayah Syariah II yang melibatkan hukum hudud, telah pun diluluskan di Kelantan pada 1993, tetapi sehingga kini ia masih tidak dilaksanakan.

"Saya ingin tahu, bilakah kita akan meninjau pelaksanaan hudud di Brunei untuk melihat adakah hudud yang dilaksanakan sama seperti yang ingin kita laksanakan," kata perwakilan yang memperkenalkan dirinya sebagai Nordin.

Pada 22 Okt lepas, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan penguatkuasaan hukum hudud di Brunei, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina. 

Perwakilan dari Perak Suhaimi Abdul Wafiq pula mendesak mana-mana pemimpin PAS yang terpalit dengan segala aktiviti Islam liberal dan pluralisme agar menafikan penglibatan mereka secara telus dan terbuka.

"PAS sebagai parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam, wajiblah menghadapi Islamic Renaissance Front (IRF) ini dengan tegas.

Ketetapan perlu dibuat agar tiada pimpinan PAS didakwa terbabit dengan Islam liberal dan pluralisme yang didukung IRF. "Kita menghendaki pemimpin-pemimpin terlibat untuk menarik balik sokongan moral kepada Islam liberal dan pluralisme terutama yang didukung oleh IRF," katanya.

Turut mendapat perhatian perwakilan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), apabila Azhari Yaakob mendakwa cadangan Kerajaan Persekutuan melaksanakan GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan mendesak kerajaan menarik balik keputusan untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 mengumumkan GST yang dikenakan pada kadar enam peratus akan dilaksanakan pada April 2015.

Dalam pada itu, perwakilan turut membangkitkan hubungan kerjasama (tahaluf siyasi) antara PKR dan DAP, yang antara lain mendesak supaya diwujudkan jawatankuasa mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan pakatan itu serta mewujudkan mekanisme penyelarasan dasar bagi negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.

Turut dibangkitkan ialah isu pengembangan fahaman-fahaman lain termasuk Syiah yang dikatakan tidak sepatutnya menjadi pegangan kepada mana-mana anggota PAS.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata satu unit audit syariah bakal ditubuhkan dan diletakkan di bawah Majlis Syura Ulama bagi memantau sebarang fahaman termasuk Syiah.

"Mana-mana ideologi yang boleh menjejaskan imej jemaah akan kita pantau termasuk Syiah yang menyeleweng," katanya.

Muktamar Dewan Ulama semalam  turut bersetuju menerima usul PAS Terengganu berhubung jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang naib presiden mestilah daripada kalangan kepimpinan ulama, tanpa bahas.

Muktamar tahunan PAS kali ke-59 dimulakan dengan muktamar peringkat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang berlangsung semalam manakala Dewan Ulama semalam.

Muktamar kali ini turut menyaksikan pemilihan saf kepimpinan parti itu.

No comments:

Post a Comment