Friday, November 22, 2013

'Tuhan Harun' Direman Seminggu, Seorang Pengikut Serah Diri

Mohd Nizam  hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan semalam.
Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ atau nama sebenarnya, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 30, serta pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, direman seminggu mulai semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah bagi membolehkan siasatan kes tembak mati seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dijalankan ke atas mereka.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, perintah itu dikeluarkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 11 pagi semalam.

“Polis akan menyiasat meliputi semua sudut sama ada mereka terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.
“Seramai 19 orang lagi pengikut ajaran ‘Tuhan Harun’ diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Kalau berdegil (pengikut), polis dengan tegas akan memburu mereka habis-habisan,” katanya di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan Harun bersama Azida dan Nor Hairi ditangkap polis di sebuah inap desa di Ledang, Johor pada pukul 3.20 petang kelmarin selepas dikesan menginap di situ sejak seminggu.

Harun bersama para pengikutnya dikehendaki polis bagi membantu menyelesaikan kes menembak mati Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan JAIP, Ahmad Raffli Abdul Malik dalam kejadian pukul 1.55 petang di sini, 10 November lalu.

Ahmad Raffli yang mengetuai siasatan kes ‘Tuhan Harun’ serta kegiatan ajaran Syiah di negeri itu maut akibat terkena dua tembakan semasa didatangi tiga lelaki menaiki kereta jenis Proton Wira putih di hadapan rumahnya.

Dalam pada itu, seorang pengikut ‘Tuhan Harun’, Mohd. Nizam Mohd. Salleh, 43, tampil menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah semalam.

Pada 15 November lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen bercanggah hukum syarak.

Hakim Syarie, Mohd. Azahari Abdul Rahman menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes tersebut di dalam kamarnya.

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Pendakwa Syarie JAIP, Mohd. Fahmi Abd Jalil berkata, selepas meneliti dan mendengar alasan tertuduh, Hakim mengekalkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atasnya.

No comments:

Post a Comment