Saturday, November 9, 2013

Insentif Untuk Murid Khatam al-Quran Di Terengganu


Kerajaan negeri bercadang menyediakan insentif kepada kanak-kanak tadika serta murid sekolah yang berjaya khatam al-Quran sebagai satu bentuk galakan kepada mereka mencapai tahap itu.

Speaker Dewan Undangan negeri, Mohd. Zubir Embong berkata, insentif tersebut tidak semestinya dalam bentuk kewangan, sebaliknya membawa mereka menyertai lawatan sebagai ganjaran.

Beliau berkata, usaha itu membolehkan mereka menyedari betapa masyarakat serta kerajaan menyanjung kejayaan mereka menghafaz dan khatam al-Quran pada peringkat usia yang terlalu muda.



"Insya-Allah kalau berjaya, mereka akan dapat sesuatu yang diberikan oleh kerajaan dalam bentuk insentif sama ada segi kewangan atau lawatan dan sebagainya," katanya.

Mohd. Zubir yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2013 Kanak-kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak kelmarin.

Menurut beliau, kerajaan kagum dengan peningkatan jumlah kanak-kanak dan murid sekolah rendah yang bukan sahaja khatam al-Quran, malah mampu menghafaz surah Yasin serta terjemahannya.

Katanya, jumlah itu bertambah daripada kurang 1,000 orang sejak program itu mula diperkenalkan hingga 10,805 orang pada tahun ini. Daripada jumlah itu, jelas beliau, 441 orang yang menghafaz surah Yasin manakala 332 orang lagi menghafaz surah Yasin dan terjemahannya.

" Inilah perkara yang ingin kita terapkan kepada golongan ini agar mereka mempunyai jati diri sebelum ke sekolah menengah, selain menjadi rujukan kepada para pelajar lain," katanya.

Tambah beliau, keberkesanan program seumpama ini yang modulnya dicipta Yayasan Islam Terengganu (YIT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kini menjadi ikutan negeri lain, khususnya Pahang.

No comments:

Post a Comment