Saturday, November 9, 2013

57 Kereta Sapu Dikesan Beroperasi Secara Haram - SPAD

Syed Hamid Albar menerangkan sesuatu ketika hadir pada majlis Perjumpaan Bersama Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa di Hentian Teksi Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.
Sebanyak 57 kereta sapu dikesan beroperasi secara haram di negeri ini sepanjang tahun ini bermula sejak bulan Januari lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke terminal bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan hentian teksi di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Syed Hamid, daripada jumlah itu, sebanyak 15 pengusaha kereta sapu ditahan untuk disoal siasat dan tujuh pengusaha terbabit pula telah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.



Beliau berkata, sebanyak empat kes lagi melibatkan pelucutan hak, satu dalam proses rayuan manakala selebihnya pula masih dalam proses perbicaraan.

"Pihak SPAD sememangnya memandang serius kes-kes yang melibatkan kereta sapu haram ini kerana boleh dianggap sebagai ancaman kepada pemandu teksi berlesen, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu teksi, khususnya di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pengusaha yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan awam terutamanya teksi supaya mendapatkan lesen bagi tujuan berkenaan.

"Jadi, bila mereka ni ambil lesen, senang kita nak selaraskan dan kita bersaing pun, bersaing secara halal dan tidak membebankan kawan-kawan (pemandu teksi berlesen) yang juga mencari rezeki," ujar beliau. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan kereta sapu haram itu kerana hanya memiliki insurans untuk melindungi pemandu sahaja dan bukannya penumpang.

"Dalam sesetengah keadaan, kereta sapu haram mungkin mengenakan caj yang lebih murah berbanding teksi sedia ada, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi yang beroperasi secara sah," katanya.

No comments:

Post a Comment