Friday, November 29, 2013

Jabatan Kesihatan Terengganu Tubuh Pasukan Hadapi Banjir

Jabatan Kesihatan Terengganu telah menubuhkan sejumlah pasukan kesihatan dan pasukan perubatan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan itu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata pasukan itu akan digerakan ke lokasi-lokasi yang memerlukan bantuan sebaik sahaja terdapat perpindahan mangsa banjir dilaporkan.

"Pasukan kesihatan akan menumpukan kepada aspek pencegahan dan kawalan penyakit sementara pasukan perubatan akan memberikan rawatan kepada mangsa banjir yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Keselamatan Makanan peringkat negeri semalam.

Sebelum berlakunya banjir, beliau berkata pasukan kesihatan akan membuat lawatan ke pusat pemindahan mangsa banjir untuk memastikan pusat itu selamat bagi mangsa banjir dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan.

Dr Anwa berkata permohonan cuti semua pegawai perubatan di Terengganu akan dibekukan apabila keadaan memerlukan dan bekalan ubat di semua hospital dan klinik akan dipastikan mencukupi.

Pada umumnya tidak ada hospital di Terengganu yang terlibat dengan banjir, kecuali kemungkinan beberapa buah klinik desa seperti Klinik Desa Pasir Raja, Klinik Desa Jenguk Batu dan Klinik Desa Kuala Jengai. Dr Anwa berkata pada tahun lepas, klinik desa di Seberang Tayor Kemaman agak teruk dilanda banjir dan melumpuhkan operasi di klinik itu.

No comments:

Post a Comment