Sunday, November 24, 2013

Jailani Ikrar Sokongan Penuh Kepada Ahmad Said

Badan Perhubungan UMNO Terengganu kini mempunyai timbalan pengerusi baharu dengan pelantikan Datuk Jailani Johari yang berkuat kuasa serta-merta.

Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pelantikannya diumum oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu negara, Khamis lepas.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepada saya menggalas jawatan yang amat penting terutamanya bagi UMNO negeri Terengganu," katanya ketika ditemui dalam majlis berkhatan dan memasak bubur asyura anjuran Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam di Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu di laman facebooknya beliau berkata: “Terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Umno atas kepercayaan yang diberikan. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang terus menyokong dan sentiasa mendoakan kesihatan saya.

“Insya-Allah saya akan laksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dalam membawa transformasi yang dihasratkan oleh kerajaan demi perjuangan parti dan kesejahteraan bangsa, agama dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Umno Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri untuk memantapkan lagi Umno Terengganu.

Sebelum ini jawatan itu disandang oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II.

 Majlis berkhatan itu disertai 75 murid tahun tiga dan enam dari kawasan DUN berkenaan. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20131124/wt_02/Jailani-Timbalan-Pengerusi-UMNO-Terengganu#ixzz2lX0EZrPR © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment