Sunday, November 24, 2013

MAIDAM Beri Bantuan Keperluan Asas Kepada Fakir Miskin Tahun Depan

Mulai tahun depan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memberi bantuan berupa keperluan asas kepada golongan fakir miskin di negeri ini.

Pesuruhjaya MAIDAM, Mohd Rozali Salleh berkata ini kerana bantuan kewangan yang diberikan MAIDAM selama ini, tidak digunakan semata-mata untuk membeli keperluan asas sebaliknya mendapati rata-rata penerima menggunakan wang tersebut untuk perkara kurang bermanfaat.

"Rancangan ini kita namakan program kedai runcit asnah dan kita akan lancarkan secara besar-besaran mulai awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahfiz cuti sekolah Masjid Kristal di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Rozali berkata dalam hal ini, MAIDAM sendiri akan membeli barangan keperluan asas tersebut melalui kedai yang dilantik dan menghantarkannya ke rumah fakir miskin.

Beliau menjangkakan 100 buah kedai runcit di seluruh Terengganu terlibat dalam program berkenaan dan meminta mana-mana kedai runcit yang berminat menjadi pembekal, agar memohon dengan MAIDAM. 

Selain itu, Mohd Rozali berkata MAIDAM sedang menapis senarai e-Kasih untuk program itu yang dijangka melibatkan peruntukan hampir RM1 juta sebulan.

"Perbelanjaan setahun untuk program ini kita jangka sebanyak RM11.8 juta yang akan melibatkan hampir 5,100 orang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mulai tahun depan MAIDAM akan melaksanakan bantuan sewa rumah untuk golongan miskin di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan untuk tujuan tersebut. "Kita juga akan bayar bil air atau bil elektrik keluarga miskin yang tertunggak," katanya.

No comments:

Post a Comment