Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesan lima kes jangkitan penyakit kuku dan mulut membabitkan 31 ekor lembu di negeri itu bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Pengarahnya, Dr Marzuki Zakaria, berkata pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan wabak.
“Kes pertama dikesan di Kuala Terengganu pada Februari dan kes kedua di Kemaman,” katanya ketika di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurutnya, kes ketiga dan keempat pula berlaku di Hulu Terengganu dan kes terkini pada September lalu di Marang.
“Kesemua kes tidak membabitkan kematian haiwan ternakan terbabit,” katanya.
Dr Marzuki berkata, dalam tempoh itu juga pihaknya menyuntik vaksin terhadap 20,425 ekor lembu di seluruh negeri bagi mencegah penularan wabak.
Dalam hal ini, Dr Marzuki berharap penternak segera melaporkan kepada JPV jika mendapati ternakan mereka mengalami simptom seperti lidah dan mulut berkudis, air liur bertali, celah kaki berkudis dan tidak dapat berdiri.
Sementara itu, Dr Marzuki berkata, JPV juga mungkin menjalankan gerakan menyuntik ternakan pada musim banjir ini bagi mencegah wabak penyakit hawar berdarah.
No comments:
Post a Comment