Friday, November 29, 2013

Kes Keganasan Terhadap Wanita Catat Penurunan di Terengganu


Terengganu mencatatkan penurunan dalam jumlah kes keganasan terhadap wanita di mana hanya 13 kes dilaporkan berlaku tahun ini berbanding 26 kes tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mahdi Musa berkata, memandangkan setiap tahun terdapat kes sedemikian, kesedaran untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa khususnya oleh kaum wanita sendiri amat penting.

“Kesedaran ini bukan hanya terhad kepada wanita tetapi lelaki pula perlu menghormati dan menyayangi kerana tanpa mereka, tiadalah kita.

"Saya menyeru kepada semua agar tidak terlibat dalam kes penderaan wanita,” katanya pada Kempen Kesedaran Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Mydin Hypermarket, kelmarin.

Menurut Mahdi, program itu diadakan bagi menyedarkan masyarakat supaya mengelak daripada melakukan penderaan terhadap wanita.

Katanya, selain terlibat dalam kes dera, wanita juga terlibat dalam jenayah lain seperti ragut, samun dan sebagainya.

“Perkara itu sinonim dengan wanita yang merupakan golongan lemah, maka lebih ramai yang akan ambil kesempatan, misalnya mereka buat kekerasan kepada wanita, maka wanita tak mampu melawan. “Jadi dalam hal ini, kita cuba sedaya upaya menggunakan pelbagai medium bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangun Wanita Keluarga dan Masyarakat, Saharuddin Mohd Kia berkata, berdasarkan rekod kes keganasan terhadap wanita di Terengganu menunjukkan penurunan.

“Data ini menunjukkan kes yang diadu buat masa ini. Dengan kesedaran perlunya melindungi wanita, saya pasti akan ada lagi aduan yang akan disampaikan kepada kita.

“Penderaan yang berlaku melibatkan banyak latar belakang. Dalam konteks ini ada yang melibatkan fizikal dan emosi, kecederaan bukan sahaja dari sudut fizikal malah turut melibatkan emosi,” katanya.

No comments:

Post a Comment