Friday, November 29, 2013

Kesedaran Alam Sekitar Menyerlah Melalui RAS - JAS

Bazlan Abd. Rahman (kanan) beramah mesra dengan peserta Rakan Alam Sekitar (RAS) dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara JAS Terengganu dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, swasta serta 3P di Kuala Terengganu, kelmarin.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan pertambahan 50,000 sukarelawan baharu sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS) setahun bagi menggerakkan Program 3P (Pasukan Pemantau Pencemaran) secara konsisten dan berkesan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Datuk Abu Hassan Mohd Isa percaya usaha itu mampu dicapai dengan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar semakin meningkat di samping langkah penjenamaan semula RAS.

Katanya, sehingga kini, seramai 186,000 RAS bertindak sebagai ejen kepada pihak berwajib bagi memantau dan melaporkan kes pencemaran dan kerosakan alam di kawasan masing-masing sejak diperkenalkan di setiap Parlimen lima tahun lalu.

 Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JAS Terengganu dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, swasta serta 3P di Kuala Terengganu, kelmarin.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau & Air negeri, Bazlan Abd. Rahman menyempurnakan majlis yang turut dihadiri Pengarah JAS Terengganu, Roshadah Hashim.

Katanya, sambutan pelbagai pihak terhadap program ini amat memberangsangkan yang membolehkan usaha digembleng bagi memperluaskan program 3P dan peranan mereka di setiap Parlimen.

"Program ini untuk memastikan semua lapisan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat gergasi dan badan berkanun berganding bahu membanteras isu alam sekitar dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Roshadah memberitahu, melalui persefahaman dimeterai, jumlah keanggotaan RAS akan meningkat dengan ketara dan pelbagai kegiatan bakal dilakukan bagi membentuk kesedaran masyarakat menjadi lebih menyerlah.

"Selepas ini setiap ahli RAS akan diberikan latihan bagi berdepan isu-isu dan cara mengawal kes aduan selain mempelbagaikan penglibatan masyarakat dalam proses pemuliharaan alam sekitar," katanya. 

Menurutnya, sekiranya menerima aduan, RAS boleh bertindak mengawal dan menangani kes itu sebelum melaporkan kepada JAS yang akan meninjau lokasi kejadian untuk tindakan susulan.

No comments:

Post a Comment