Thursday, November 7, 2013
Kumpulan Pertama 281 Jemaah Haji Pantai Timur Selamat Tiba Pagi Semalam
Kumpulan pertama seramai 281 jemaah haji dari negeri di pantai timur tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, pada jam 7 pagi semalam.
Mereka tiba 20 minit lebih awal daripada jadual asal dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah kira-kira 5.30 petang waktu Arab Saudi atau 10.30 malam waktu Malaysia.
Pengarah Operasi Stesen Kuala Terengganu, Azillah Itam berkata dari jumlah itu, seramai 273 penumpang terdiri dari jemaah haji manakala lapan penumpang pula adalah petugas tabung haji.
"Alhamdulillah penerbangan berjalan lancar dan semua jemaah juga nampaknya sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
"Terdapat empat lagi penerbangan pulang ke Terengganu setiap hari pada jam 7.20 pagi sehingga Ahad ini," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan jemaah haji itu.
Bagi jemaah Ahmad Azham Ahmad Nasrudin, 15, beliau bersyukur kerana berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima pada usia berkenaan dan menyifatkannya sebagai anugerah dari Allah buat dirinya.
"Bukan semua orang dapat peluang mengerjakan haji di usia belasan tahun dan sepanjang di sana, saya gembira dapat membantu ramai jemaah haji yang lebih tua supaya mereka dapat melakukan ibadah dengan selesa," katanya yang pergi bersama ibunya. Lijah Yusof, 59, pula menyifatkan kesihatannya yang terjejas ketika berada di Tanah Suci sebagai ujian dari Allah, namun ia tidak mengganggu urusan ibadahnya.
"Ada dua hari yang makcik demam, tapi dengan bantuan doktor dan jururawat di sana, makcik cepat sembuh dan boleh melakukan ibadah sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment