Selepas tiga orang maut sekali gus bulan lalu di Hutan Lipur Lata Tembakah dekat Bukit Payong, di Hulu Besut akibat lemas, terbaru seorang lagi menjadi mangsa di kawasan air terjun sama petang kelmarin.
Kali ini membabitkan seorang anggota TUDM, Laskar Udara, Mohamad Farid Kamaruddin, 23, yang bertugas di Bahagian Trafik Udara Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) dekat Kuala Besut.
Sebelum kejadian Mohamad Farid yang masih bujang bersama empat rakan setugasnya ingin meluangkan masa cuti mereka dengan beriadah di kawasan air terjun tersebut.
Namun, kegembiraan mereka bertukar tragedi apabila Mohamad Farid didapati lemas di air terjun tingkat dua hutan lipur itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa bersama rakannya berlepas dari PUGK pada jam 4 petang dan sampai di Lata Tembakah kira-kira jam 4.30 petang sebelum mereka naik ke air terjun tingkat dua.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mereka mandi-manda dan kira-kira jam 5.15 petang salah seorang daripada rakan mangsa melihatnya tenggelam timbul.
“Mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang dipercayai lemas selepas berada di tempat air dalam manakala, rakan mangsa tidak dapat menyelamatkannya.
“Rakan mangsa turun ke bahagian bawah untuk meminta bantuan dan sejurus kemudian pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Jertih, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut, polis dan penduduk kampung pergi ke tempat kejadian untuk mencari mangsa,” katanya.
Kamaruddin berkata, mangsa berjaya ditemui di dasar sungai dengan hampir keseluruhan badannya ditutupi daun pada jam 6.30 petang.
Katanya, jenazah dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas serta tiada unsur jenayah.
Beliau berkata, ketika kejadian keadaan arus sungai agak deras, manakala kedalaman air kira-kira 13 kaki.
Jenazah Mohamad Farid dituntut oleh TUDM di bilik jenazah selepas selesai bedah siasat malam kelmarin.
Jenazah kemudiannya disembahyangkan pada jam 1.15 pagi semalam di Masjid PUGK Gong Kedak sebelum dihantar pulang dengan van jenazah ke kampung halamannya di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur.
alam kejadian 4 Oktober lalu, tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, Vikneswaren Balakrisnan, Mohana Raj Mathandra dan Janarthen masing-masing 22 tahun mati lemas di hutan lipur sama.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment