Tiada isu burukkan calon berlaku di negeri ini, kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Zakaria Dagang.
Mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berhubung aduan mengenai isu mempromosi calon dan menjatuhkan calon lain, Zakaria menyifatkannya sebagai ‘perkara yang tidak pernah berlaku dalam Pas’.
Katanya, sudah menjadi amalan dalam Pas sebelum ini yang memperlihatkan sikap merendah diri pemimpin parti itu untuk tidak berebut jawatan, apatah lagi menjatuhkan sesama sendiri.
“Kebiasaan yang berlaku dalam Pas, masing-masing menolak memegang jawatan dan tidak berlaku budaya memburukkan sesama sendiri.
“Apa yang pasti tidak berlaku di negeri ini kerana kita biasanya menolak kempen secara terbuka walaupun dibenarkan dalam parti,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian Ahad lalu, Jawatankuasa Pemilihan Pas memberi amaran kepada pihak yang terlibat dengan pemilihan parti termasuk lajnah di peringkat negeri supaya tidak menganjurkan sebarang majlis yang bersifat memburuk-burukkan calon bertanding.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi berkata, pihaknya menerima aduan ada pihak yang telah mengadakan majlis keraian dan pada masa sama ditukarkan kepada mempromosi seseorang selain menjatuhkan calon lain.
Mengulas perkara itu, Zakaria tidak menolak ia mungkin timbul akibat sikap ghairah untuk memegang jawatan tertentu.
Dalam konteks berbeza katanya, keadaan itu berlaku kerana masing-masing sebenarnya mahu memberi sumbangan kepada parti.
“Bagaimanapun, apa yang berlaku itu tidak wajar dan kita harap tiada amalan sedemikian di Terengganu dan di negeri lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment