Thursday, November 28, 2013

LTdL 2014 - Terengganu Tidak Akan Teruskan Tajaan RM2 Juta Pada Musim Depan

"Memang kita terasa... kadang-kadang mereka ini buat keputusan terburu-buru. Patutnya dia kajilah dulu secara keseluruhan, Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet di negara kita... apatah lagi dalam lumba basikal... seolah-olah kita tidak dihargai atas sumbangan dan pengorbanan kita selama ini."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan negeri Terengganu tidak akan meneruskan tajaan sebanyak RM2 juta bagi kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu tidak mahu meneruskan tajaan LTdL pada musim depan kerana terkilan selepas mendakwa dilayan umpama 'melukut di tepi gantang' oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Ya. Memang kita terasa... kadang-kadang mereka ini buat keputusan terburu-buru. Patutnya dia kajilah dulu secara keseluruhan, Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet di negara kita... apatah lagi dalam lumba basikal... seolah-olah kita tidak dihargai atas sumbangan dan pengorbanan kita selama ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Meskipun Terengganu disenarai sebagai lokasi penamat LTdL musim depan, Ahmad meminta penganjur melakukan perubahan kerana tidak lagi berminat menaja kejohanan itu.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap KBS yang seolah-olah memandang sepi sumbangan, pengalaman dan kemudahan infrastruktur bagi dua acara sukan berprestij di Terengganu apabila hak penganjuran acara berkenaan dijangka diberi kepada negeri lain.

Terengganu gagal menjadi tuan rumah dalam venue acara berbasikal pada temasya Sukan SEA 2017 apabila hak penganjuran dijangka diberi kepada Johor (acara lebuh raya) dan Negeri Sembilan (acara trek). 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bercadang melihat pembentangan kajian sama ada penganjuran Piala Monsun akan diteruskan di Terengganu atau di negeri lain pada musim depan.

No comments:

Post a Comment