Mahkamah Rayuan di Putrajaya, kelmarin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tangkapan dan penahanan kartunis politik Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, oleh polis pada 2010 adalah sah.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa rampasan 66 naskhah buku serta sebuah lukisan kartunnya menyalahi undang-undang dan memerintahkan ganti rugi dibayar kepada Zulkiflee dan jumlahnya akan ditaksir Mahkamah Tinggi.
Abdul Aziz dan dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Arif Md Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah sebulat suara menolak rayuan Zulkiflee bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tangkapan dan penahanannya.
Panel itu juga menolak rayuan bersilang yang dikemukakan Asisten Komisioner A. Arikrishna, Asisten Komisioner Marina Hashim, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa rampasan buku dan lukisan itu menyalahi undang-undang.
Abdul Aziz berkata, mahkamah sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan Zulkiflee dan rayuan bersilang oleh pihak polis dan kerajaan.
"Vazeer Alam Mydin Meera (hakim Mahkamah Tinggi) membuat kesimpulan bahawa Arikrishna memberi pendapat yang wajar bahawa wujud syak yang munasabah Zulkiflee melanggar peruntukan Akta Hasutan 1948, walaupun sehingga sekarang pihak berkaitan tidak mengharamkan buku atau mendakwanya bagi kesalahan di bawah Akta Hasutan atau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
"Kami tidak fikir pegawai yang melakukan tangkapan itu melakukan apa-apa kesalahan contohnya responden pertama (Arikrishna) yang memberi pendapat kandungan buku itu berupa hasutan sebaik menyelak halaman buku itu dan dengan melihat kolajnya," katanya dalam penghakiman setebal 37 muka surat.
Abdul Aziz berkata, mahkamah mendapati Pesuruhjaya Kehakiman itu (Vazeer) membuat keputusan yang betul bahawa tiada bukti meyakinkan untuk menunjukkan Marina membawa Zulkiflee ke beberapa balai polis semata-mata menghalang pelancaran buku itu yang dibuat pada masa yang sama dia ditahan.
"Hakikatnya tiada pertuduhan dikenakan terhadap Zulkiflee berhubung tahanannya dan penerbitan buku berkenaan, yang pada pandangan kami kekurangan bukti untuk mengesahkan bahawa ada niat jahat ketika defendan melaksanakan tugas itu," katanya.
Beliau berkata, penahanan Zulkiflee dan penahanan seterusnya adalah sah dan bahawa aduan dia (Zulkiflee) yang dia ditahan secara tidak wajar oleh polis untuk siasatan adalah tanpa merit.
Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata mahkamah berpendapat siasatan polis terhadap aduan atau jenayah yang dilaporkan adalah sepenuhnya dalam budi bicara polis berdasarkan kaedah atau masa yang diambil kerana terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan.
"Walaupun kami bersetuju bahawa undang-undang tidak mengenakan had masa pada pihak polis untuk menyiapkan siasatan mereka dan undang-undang tidak menetapkan masa bagi Peguam Negara untuk memutuskan sama ada untuk mendakwa suspek sebaik siasatan selesai, kami berpendapat bahawa ia bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes," katanya.
Pada 15 Jun 2011, Zulkiflee dan syarikat miliknya, Sepakat Efektif Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Arikrishna, Marina, Ismail, KDN dan Kerajaan Malaysia bagi penahanan menyalahi undang-undang.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zulkiflee mendakwa sepasukan polis diketuai Arikrishna menyerbu pejabatnya pada 24 Sept 2010, hanya beberapa jam sebelum pelancaran bukunya bertajuk 'Cartoon-O-Fobia', menangkapnya dan merampas 66 naskhah buku itu serta sebuah lukisan kartun.
Katanya selepas tangkapan itu beliau telah dibawa ke beberapa balai polis di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum lewat malam untuk direman sehari dan terpaksa bermalam di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa KL atas dakwaan menghasut.
Zulkiflee mempertikai asas penangkapan dan penahanannya, rampasan terhadap karyanya dan menyatakan bahawa tindakan itu adalah salah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta berniat untuk menggagalkan pelancaran bukunya.
Peguam R. Sivarasa berkata, beliau akan berbincang dengan Zulkiflee sama ada membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayob mewakili kerajaan dan pihak polis.
No comments:
Post a Comment