Sunday, November 3, 2013

61,859 Calon Duduki STPM Mulai 6 November Ini

Seramai 61,859 calon akan menduduki peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 773 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 6 hingga 18 November ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata daripada jumlah itu 60,474 calon sekolah kerajaan, 752 calon sekolah swasta, 623 calon persendirian individu dan sembilan calon sekolah kerajaan negeri.

"Mereka merupakan calon kohort pertama peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu STPM yang diperkenalkan mulai tahun 2012,” kata kenyataan itu.

Sementara itu peperiksaan ulangan Penggal 1 STPM 2013 akan diadakan dari 19 hingga 25 November membabitkan 39,289 calon, manakala peperiksaan ulangan Penggal 2 STPM 2013 akan diadakan mulai 26 November hingga 2 Disember dengan 39,094 calon.

"Sebanyak 54,932 calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2014 pada 19, 20, 21 dan 25 Nov 2013 di 775 buah pusat peperiksaan,” katanya.

Ujian Malaysian University English Test (MUET) Sesi November 2013, pula akan diadakan pada 23 November ini di 664 pusat ujian yang membabitkan 75,098 calon.

Kesemua calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM dan Slip Daftar MUET (MUET/D) bagi MUET untuk menduduki peperiksaan.

Selain dinasihati menyemak pusat peperiksaan, calon juga boleh mencetak LPKC dan MUET/D masing-masing melalui Portal MPM di http://www.mpm.edu.my Sekiranya berlaku sebarang bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh sehingga menyebabkan calon menghadapi kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati pergi ke pusat peperiksaan berdekatan untuk menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.

MPM juga membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi di talian 03-61302666,03-61369663, 03-61302664 atau 03-61302646 dari 7.30 pagi hingga 6 petang.

No comments:

Post a Comment