Thursday, November 21, 2013

Malaysia Sedia Hadapi Banjir Pada Musim Tengkujuh


Selepas Filipina dan Vietnam pulih daripada taufan Haiyan, Malaysia kini sedia menghadapi sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh dan ribut yang sering melanda negara pada penghujung tahun.

Kira-kira 57,000 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, polis, tentera telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memindahkan 1.3 juta mangsa banjir di seluruh negara, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua persiapan telah dikoordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Awam Pusat dan perkara ini turut dibincangkan di peringkat negeri," kata Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam satu kenyataan kepada The Star.

Jabatan Meterologi turut menasihat lima negeri bersiap sedia kerana akan menerima taburan hujan lebat ketika musim monsoon timur laut, kerana ia boleh mengakibatkan banjir terutamanya di kawasan lembangan sungai.

Lima negeri tersebut ialah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Jabatan berkenaan berkata kawasan selatan Johor juga dijangka turut terjejas.

Thajudeen berkata sebanyak 1,910 lori, 2,097 kenderaan pacuan empat roda, 2,051 bot, 152 jetski serta 26 helikopter telah disediakan dalam menghadapi banjir.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah menubuhkan 1,472 pasukan perubatan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat bersiap sedia untuk membuka 4,969 bilik gerakan yang boleh menempatkan 1.3 juta orang.

"Kami turut mengalu-alukan sebarang bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti peralatan kecemasan, makanan, bantuan kewangan serta sukarelawan," kata Thajudeen sambil menambah kumpulan yang berminat boleh menghubungi pusat operasi bencana negeri masing-masing.


No comments:

Post a Comment