Wednesday, November 6, 2013

Nota Bantahan Diserahkan Kepada AS, Australia Mengenai Aktiviti Pengintipan Di Malaysia


Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia mengenai laporan aktiviti pengintipan AS di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau dimaklumkan oleh kerajaan AS bahawa Presiden Barack Obama mengarahkan aktiviti kedutaannya dikaji semula.

Beliau mengulas mengenai laporan pada minggu lalu bahawa pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia telah digunakan sebagai sebahagian daripada operasi pengintipan secara global yang dilakukan AS.
"Pada dasarnya kita membantah sebarang bentuk pengintipan dan pengawasan terhadap mana-mana kerajaan.

"Perkara ini membabitkan kedaulatan negara kita dan negara kita mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara ini.

"Ia adalah berbentuk nota bantahan dan kami meminta Kementerian Luar untuk membuat kenyataan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri berkata Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.

Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah mengarahkan satu kajian semula dilakukan terhadap semua kegiatan pengintipan oleh pihak negara itu.

"Jadi, kita menantikan kajian semula tersebut. Kita berharap perkara ini tidak menjadi kontroversi pada masa akan datang," katanya dalam sidang media berkenaan.

 Perdana Menteri turut mempersoalkan sejauh mana pengintipan yang didakwa dilakukan terhadap kerajaan Malaysia dalam mengumpul maklumat tentang ancaman kepada keselamatan mereka yang melibatkan soal keganasan, senjata pemusnah besar-besaran, jenayah merentas sempadan dan sebagainya.

Najib berkata Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada duta AS dan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di sini. 

"Kami telah ambil langkah apa yang dikatakan sebagai respons sewajarnya di pihak kami dan mempertahankannya dari segi soal prinsip," katanya.

Baru-baru ini, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden mendedahkan bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet.

Snowden mendedahkan risikan itu dijalankan di bawah operasi 'STATEROOM' yang turut membabitkan Britain dan Kanada.


No comments:

Post a Comment