Thursday, November 21, 2013

Pantai Timur, Pantai Sarawak, Alami Taburan Hujan Lebat

Jabatan Meterologi berkata negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima kali taburan hujan lebat yang mungkin berterusan untuk tempoh tiga hingga tujuh hari.

"Kejadian seperti ini boleh menyebabkan banjir di negeri pantai timur dan wilayah selatan semenanjung bermula bulan ini hingga Januari.

Musim monson di Malaysia bermula 1 November dan dijangka berakhir pada minggu ketiga bulan Mac tahun hadapan. Episod pertama hujan lebat dijangka bermula pada bila-bila masa ketika ini.

"Di utara semenanjung juga kita dapat melihat peningkatan taburan hujan disebabkan pergerakan angin yang sederhana pada awal musim monson. Sebaliknya, di kawasan selatan dan timur Pahang serta Johor mungkin mengalami hujan di bawah paras normal bulan ini.

"Taburan hujan juga dijangka bertambah di kawasan Sabah seperti di Kudat Pantai Barat dan Pedalaman pada bulan ini," kata jabatan berkenaan.

Mengenai kesan taufan Haiyan terhadap cuaca tempatan, jabatan berkenaan berkata ada kemungkinan ribut tropika yang melanda negara berhampiran Malaysia boleh menjejaskan cuaca di negara ini, terutamanya kawasan berhampiran pantai.

Walaupun jabatan berkenaan menjangkakan musim monson kali ini dijangka normal, namun setiap kejadian hujan lebat boleh menyebabkan banjir.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cuaca dan keadaan laut serta amaran banjir dengan melayari laman web www.met.gov.my, portalbencana.mkn.gov.my / Portal / atau publicinfobanjir.water.gov.my /

No comments:

Post a Comment