Thursday, November 21, 2013

Sultan Terengganu Titah Supaya Khazanah Hutan Terus Dipulihara


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya khazanah hutan di Terengganu terus dipulihara supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

Titah baginda, inisiatif penanaman semula pokok bakau di kawasan tertentu, termasuk kawasan paya bakau Kerteh sudah tentu dapat membantu kerajaan mengekalkan hutan bakau secara kekal.

“Program-program yang dapat meningkatkan penglibatkan masyarakat umum terutama pelajar universiti dengan secara sukarela memulihara hutan itu sewajar dirangka dengan kadar segera.

“Hutan bakau merupakan satu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora, fauna daratan dan hidupan marin,” titah baginda. Baginda bertitah demikian dalam pesembahan ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (Eco Care) di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, semalam.





Sultan Terengganu turut bertitah sikap manusia yang sering mengganggu keseimbangan ekologi secara keterlaluan, antara faktor berlakunya bencana alam.

“Tindakan yang dilakukan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial, mahu untung lebih boleh mencetuskan pelbagai ketidakseimbangan ekologi.

“Akhirnya, negara dan rakyat menjadi mangsa pecemaran alam dan kesihatan juga boleh terjejas. Jika perkara itu berlaku, terpaksa pula membayar harga perubatan di mana hospital mahu pun klinik,” titah baginda.

Titah baginda, beta berharap agar agensi tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut bersama-sama memberi sumbangan dan komitmen dalam perkara itu.

"Beta yakin usaha menanam semula dan memulihara tumbahan ini merupakan pendekatan mitigasi yang proaktif dan perlu diberi keutamaan kepada semua pihak.

“Di samping itu, beta juga ingin menyarakan agar kesedaran awam mengenai fungsi hutan bakau dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” titah baginda.

Sultan Terengganu turut berkenan merasmikan Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare di Kampung Labohan Kerteh berkenaan.

Pusat itu yang ditubuhkan oleh PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) merupakan pusat pendidikan dan informasi mengenai penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan kawasan bakau di sepanjang sungai Kerteh.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis itu berkata penubuhan pusat itu menepati kehendak semasa berikutan di seluruh dunia kini memperkatakan isu kesedaran alam sekitar dan keperluan melindunginya.

"Kesedaran ini juga menjadi agenda utama dalam pentadbiran kerajaan terutama dalam membuat keputusan membabitkan pembangunan negara dan usaha ini juga harus dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat," katanya.

Hadir sama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia Petronas Raiha Azni Abdul Rahman.

Pusat pendidikan yang menelan belanja RM5 juta itu merupakan rentetan projek ecoCare yang bermula sejak Oktober 2005 bertujuan memupuk kesedaran, kefahaman dan keprihatinan terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Sejak 2005 sehingga kini, sebanyak 4,000 pelbagai spesies pokok bakau telah ditanam di sepanjang Sungai Kerteh.

Sementara itu, Presiden MNS Profesor Dr Maketab Mohamed berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memberi sumbangan kepada persatuan itu dalam usaha memulihara khazanah alam semulajadi di negara ini.

Katanya MNS memerlukan dana yang amat besar dalam meneruskan usaha pemuliharaan dan pendidikan mengenai biodiversiti yang masih kekal di negara ini.

MNS yang ditubuhkan pada 1940 bertanggungjawab memperkenalkan konservasi, penyelidikan dan kesedaran untuk melindungi warisan alam semulajadi. Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare di Kerteh adalah yang pertama di pantai timur dan yang keenam di Malaysia

 Lima lagi ialah Taman Alam Kuala Selangor, Rimba Ilmu Universiti Malaya, Pusat Kajian BOH-MNS, Pusat Interpretasi Alam Sekitar Sepang Gold Coast-MNS dan Pusat Pendidikan Alam Sekitar Shell-MNS-FRIM.

No comments:

Post a Comment