Sunday, November 24, 2013

Pelatih Kolej Jururawat Jalankan Khidmat Sukarela Di Marang

Seramai 339 pelatih dari Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu Sabtu menjalankan khidmat sukarelawan di sekitar Kampung Bukit Parit di Marang.

Ia adalah sebahagian daripada program gemilang siswa 2013 anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Komuniti 1Malaysia kawasan Wakaf Tapai dan kolej berkenaan.

Pengarah kolej itu, Mariam Mokhtar berkata kesemua pelatih bekerjasama membersihkan surau dan melawat 23 pesakit yang terlantar di sekitar kampung itu dan turut mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang kampung berkenaan.

"Kita mahu semua bakal jururawat ini berdamping rapat dengan masyarakat dan tahu apakah matlamat kerajaan melalui dasar-dasar yang diperkenalkan supaya apabila mereka tamat latihan nanti akan menjadi jururawat yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program yang disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Mustafa Abdul Kadir di Institut Latihan Perindustrian Marang.

No comments:

Post a Comment