Sunday, November 24, 2013

Terengganu Optimis Muncul Juara Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun Kebangsaan

Terengganu optimis untuk menjuarai kejohanan hoki bawah 14 tahun peringkat kebangsaan yang berlangsung sejak 18 Nov lalu di beberapa venue di Kuala Terengganu.

Kedua-dua pasukan tuan rumah, lelaki dan wanita yang diundi dalam kumpulan B, dilihat berada di landasan terbaik setakat ini selepas berjaya menduduki tangga teratas dalam persaingan peringkat kumpulan masing-masing.

Pengurus pasukan hoki lelaki Mohd Fikri Harun berkata pihaknya yakin pasukannya mampu mara ke akhir selepas mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan.

"Untuk menghuni tangga teratas peringkat kumpulan bukan satu tugas yang mudah namun bermain di laman sendiri memberi sedikit kelebihan kepada pasukan kita selepas menundukkan pasukan Kelantan 6-2, Melaka 6-4 dan Negeri Sembilan 3-1," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, sealam.

Beliau berkata dengan perlawanan masih berbaki dua, menentang Selangor dan Johor, pihaknya yakin pasukan itu mampu melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu ketua jurulatih hoki wanita, Mohd Ramlan Muruddin berkata beliau akan memastikan anak didiknya mencatat kemenangan dalam dua lagi perlawanan menentang pasukan Kuala Lumpur dan Melaka hari ini.

"Selepas menempuh dua perlawanan minggu lalu, kita berjaya mencatat kemenangan 6-2 ke atas Sarawak dan menang besar ke atas Pahang dengan jaringan 8-1, namun kita akan menerima tentangan sengit dari Kuala Lumpur yang berkongsi enam mata bersama kita.

"Kita akan mencari kemenangan dari dua baki perlawanan bagi mengelakkan pertembungan bersama juara kumpulan pasukan lawan," katanya. Sebanyak 14 pasukan dari Sekolah-sekolah seluruh Malaysia merebut kejuaraan kali ini.

No comments:

Post a Comment