Thursday, November 21, 2013

Penggiat Industri Pelancongan Perlu Kreatif Promosi Terengganu - Sultan


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa agar penggiat industri pelancongan di negeri ini, lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan pakej pelancongan selaras dengan keunikan dan kepelbagaian bio semulajadi yang dimiliki Terengganu.

Baginda bertitah, Terengganu yang terkenal dengan destinasi pulau, laut dan pantai yang menarik serta hutan hujan yang tertua di dunia diharap akan menjadi destinasi pelancongan alam semulajadi terkenal di dunia. 

"Beta juga ingin menyarankan agar kerajaan negeri dapat merancang pembangunan kawasan Ekopelancongan dengan terancang dan menyeluruh seperti kemudahan infrastruktur dan lain-lain.



"Pihak swasta dipohon turut serta membangunkan kawasan ekopelancongan dengan menyediakan kemudahan hotel dan chalet," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu 2013 di Primula Beach Hotel di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee.

Ekopelancongan diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1996 di menerusi Pelan Ekopelancongan Kebangsaan. Pelan itu mencadangkan Pembangunan Pelancongan Lestari di 48 kawasan yang dikenal pasti, termasuk Terengganu iaitu di Tasik Kenyir, Kuala Terengganu dan Setiu Wetlands.

Sultan Mizan turut mahu kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pembangunan beberapa lokasi, aktiviti pelancongan serta penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan khazanah alam semula jadi di negeri itu.

Baginda mencadangkan agar Setiu Wetlands dijadikan sebagai kawasan Wetlands Negeri atau dunia di mana pelancong boleh menyusuri sungai, melawat ikan sangkar dan ternakan tiram serta menanam pokok bakau.

"Begitu juga dengan aktiviti memerhati burung di Tasik Kenyir yang berpotensi dibangunkan dan sehingga kini lebih daripada 230 spesis burung telah berjaya direkodkan yang mana sembilan daripadanya adalah daripada spesis burung Enggang.

"Beta juga melihat industri menyelam sebagai pelancongan marin yang bergantung kepada pulau dan alam semulajadi, di mana kajian alam sekitar perlu ada di dalam perancangan pembangunan pulau-pulau untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi dan kehidupan dasar laut," titah baginda.

Sementara itu, seramai kira-kira 150 peserta termasuk Jawatankuasa seminar menyertai lawatan itu selepas mereka menamatkan kursus di Hotel Primula, berkenaan.

Antara tempat-tempat menarik yang mereka lawati ialah kawasan ternakan ikan dalam sangkar, meneropong burung di Kampung Gong Batu dan hutan paya bakau.

Peserta seminar juga dijamu dengan makanan tradisional penduduk Setiu antaranya ialah kuih buah berus dan juga makanan laut.

 Beberapa peserta yang ditemui gembira dengan lawatan itu kerana mereka dapat menimba beberapa pengalaman baru yang sebelum ini tidak pernah mereka lihat.

Mohd Jidin mengharapkan Setiu Wetland akan terus dikunjungi pelancong untuk menikmati pelbagai keunikan di kawasan pelancongan Daerah Setiu itu.

No comments:

Post a Comment