Thursday, November 21, 2013

Program Belia Belayar Cungkil Bakat Baharu Dalam Sukan Kapal Layar


Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan pelayaran negara melalui program Belia Belayar. 

Program empat hari bermula Selasa itu diadakan di Pulau Duyung di Kuala Terengganu, sempena penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013.

Program yang memberi pendedahan tentang aspek-aspek asas pelayaran kepada golongan muda terutama pelajar sekolah berusia dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun itu melibatkan 13 sekolah di sekitar daerah ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif MYA Mazlan Othman berkata program itu berpotensi untuk mengenal pasti pelapis dalam sukan kapal layar terutama di kalangan golongan muda apabila mereka diberi peluang untuk mencuba sukan itu.

"Penganjuran program seperti ini memudahkan persatuan mencari bakat-bakat baharu yang berminat dalam sukan kapal layar selain memberi ruang kepada golongan itu mengasah kemahiran mereka," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Beliau berkata pada program itu seramai 832 pelajar diberi peluang mengemudi kapal layar bersama juragan yang menyertai Liga Layar Malaysia (LLM). Tengku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim menyempurnakan pelepasan program itu.

Turut hadir Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 Ahmad Fathil Abd Ghani.

Sementara itu Tunku Abdul Jalil selaku Pengerusi Innovatige Sdn Bhd yang merupakan penganjur Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013 berkata program seperti itu akan diteruskan pada masa depan bagi memberi peluang kepada golongan muda mencuba sukan berkenaan.

"Kami bermula dengan program kecil dan jumlah yang sedikit seperti ini namun kami berharap program ini menjadi permulaan untuk golongan muda bergiat serius dalam sukan ini nanti," katanya.

1 comment:

  1. boleh saya tahu nama org yg menulis artikel ini untuk kajian kerja kursus saya

    ReplyDelete