Tuesday, November 12, 2013

PPDNK Terengganu Kesan 91 Kes Salah Guna Alat Timbang

Bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu mengesan 91 kes penyalahgunaan alat timbang dan sukat.

Pengarahnya Syamsul Badrin Mohsin berkata kes membabitkan rampasan barangan bernilai RM7,625 dan kompaun RM13,500.

Kebanyakannya membabitkan peniaga yang tidak menentusahkan semula alat timbang mengikut tempoh masa yang ditetapkan, katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan alat timbang dan sukat kenderaan di pusat pengumpulan sawit di Marang, kelmarin.

Katanya daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes terbanyak dengan 38, diikuti Kemaman (23 kes), Besut (16) dan Dungun (14).

Syamsul Badrin berkata peniaga bertanggungjawab menentusahkan semula semua alat timbang dan sukat yang diguna di premis mereka setiap setahun.

Setelah ketepatan alat diperiksa, alat itu akan dilekatkan dengan pelekat keselamatan yang dicatatkan tarikh tamat tempoh sah oleh Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd (MCM), sebuah syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, katanya.

No comments:

Post a Comment