Thursday, November 21, 2013

Program Suri@home ECER Fasa Kedua Bermula Disember

Program Suri@home iaitu program meningkatkan pendapatan suri rumah di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan diperluas ke fasa kedua yang dijangka bermula Disember depan. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jebasingam Issace John berkata 10 peserta lagi akan dipilih mengikuti program berkenaan yang dipilih oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

"Ketika ini terdapat 10 peserta di bawah program ini yang memfokuskan kepada aktiviti pembuatan songket di Terengganu.

"Program yang menyasarkan golongan suri rumah dan ibu tunggal ini bertujuan menggalakkan mereka menjalankan perniagaan songket dari rumah, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka kepada kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita beru-baru ini.

Pelaksanaannya mampu membantu dan memberi peluang kepada lebih ramai golongan wanita menambah pendapatan mereka melalui perusahaan industri tekstil di rumah.

Ketika ini kesemua 10 peserta yang terlibat telah menunjukkan peningkatan ketara dalam pendapatan mereka melalui program ini dan secara tidak langsung ia mampu memartabatkan industri songket di Terengganu.

Beliau berkata melalui program itu, ia diharap mampu mengeluarkan peserta dari garis kemiskinan seterusnya menjadi usahawan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.

"Itulah matlamat ECERDC iaitu peningkatan ekonomi penduduk setempat, menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, walaupun hanya bekerja dari rumah," katanya.

No comments:

Post a Comment