Bayi lelaki yang menjadi mangsa seorang remaja yang melarikan sebuah kereta di Dungun Isnin lalu dipindahkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara (SDMC AD) untuk rawatan lanjut.
Muhammad Ashraf Ikhwan diterbangkan dengan pesawat khas ke pusat perubatan berkenaan di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang Selasa.
Sebelum ini, bayi berusia sembilan bulan itu dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, lebih seminggu.
Ia ditemani bapanya Pirhat Karim, 34, dan ibunya Che Mastura Che Awang, 31, serta beberapa pegawai paramedik dari SDMC AD dalam penerbangan itu.
Pirhat berkata anak sulungnya itu berada dalam keadaan sihat dan stabil serta boleh menaiki pesawat kerana ia tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.
Katanya, anaknya itu telah dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam dan kesihatannya sudah stabil dan HSNZ mengizinkan ia dipindahkan.
"Saya berterima kasih sangat syarikat tempat saya bekerja, Allianz Insurance Malaysia Bhd (Allianz) sudi membantu kami dengan menanggung kos penerbangan.
"Kami sepakat untuk dia (anak) menerima rawatan lanjut di SDMC AD berikutan pusat rawatan itu lebih dekat dengan rumah kami dan memudahkan kami menguruskannya nanti," kata Pirhat ketika dihubungi.
Isnin lepas keluarga berkenaan melalui detik cemas apabila remaja itu melarikan kereta bersama mereka dan bayi berkenaan di Dungun.
Kejadian kira-kira 5 petang itu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil menyebabkan Pirhat dan Che Mastura cedera manakala anak mereka koma setelah tercampak dari kenderaan.
No comments:
Post a Comment