Sunday, November 24, 2013

Terengganu Tunai Janji Insentif Kahwin Bapa, Ibu Tunggal

Pasangan pengantin baharu terdiri daripada ibu dan bapa tunggal menunjukkan insentif yang diterima selepas Majlis Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri hari ini mengotakan janjinya untuk memberi insentif kepada bapa dan ibu tunggal yang berkahwin lagi, sekali gus menjadi negeri pertama menyediakan bantuan seumpama itu dengan setiap seorang menerima RM2,000.

Lebih 600 bapa dan ibu tunggal melibatkan seramai 254 pasangan dari seluruh Terengganu menerima ganjaran masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyerahan disampaikan dalam Majlis Hafaz Muqaddam Kanak-Kanak Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dekat Kuala Terengganu, semalam.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad berkata, insentif kali pertama diperkenalkan itu melibatkan peruntukan kira-kira RM1.2 juta dan usaha itu akan diteruskan dengan peningkatan jumlah peruntukan dari tahun ke tahun.

Beliau memberitahu, bantuan itu juga diberi atas keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan tersebut selain menggalakkan mereka mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing.

"Ini (insentif) merupakan tahun pertama kita perkenalkan untuk ibu dan bapa tunggal di negeri ini yang ingin berkahwin.

"Kita juga menyediakan skim insurans berkelompok berjumlah RM16,500 kepada ibu tunggal yang meninggal dunia, tetapi mereka kena daftar dulu dan setakat ini, jumlah yang sertai skim bantuan ibu tunggal ini makin bertambah," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad menarik perhatian bahawa pihaknya bersetuju untuk melantik guru-guru tadika kendalian YPK di negeri ini yang ketika ini berkhidmat secara kontrak akan diserap ke jawatan tetap.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPK berkata, pada masa ini, terdapat lebih 500 orang guru kategori itu yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah.

"Kita juga minta kerjasama ibu-bapa memandangkan mulai tahun depan, yuran untuk anak mereka belajar di tadika ini (YPK) melibatkan semua peringkat umur akan dinaikkan sebanyak RM50," ujarnya.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan Sijil Hafaz Muqaddam (23 surah lazim) kepada 1,168 kanak-kanak Taska Pertama Keluarga kelolaan YPK dan daripada jumlah itu, 866 orang yang berusia empat tahun manakala selebihnya berumur tiga tahun.

No comments:

Post a Comment