Tuesday, November 19, 2013

Tourism Malaysia P. Pinang Bantu Promosi Produk Pelancongan Johor, Terengganu

Tourism Malaysia cawangan Pulau Pinang sedang giat memperkukuh jaringan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Johor, bagi menarik lebih ramai pelancong domestik berkunjung ke Johor.

Timbalan Pengarahnya Haryanty Abu Bakar berkata sebagai langkah permulaan, seramai 16 peserta dari agensi pelancongan dan wakil media Pulau Pinang menyertai lawatan suai kenal selama empat hari bermula Jumaat lepas bagi meneroka sendiri pakej pengembaraan menarik di negeri itu.

"Ini sebagai projek perintis kerana kita turut bercadang mengadakan program sebegini di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada tahun depan, dan InsyaAllah seluruh negeri Semenanjung bagi merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya di Nusajaya, hari ini.

Katanya jumlah penduduk Pulau Pinang yang melancong ke Johor pada tahun lepas adalah seramai 85,700 orang atau 0.63 peratus, berbanding 97,000 orang dari Johor berkunjung ke Pulau Pinang dalam tempoh sama.

Beliau berkata program itu dilihat mampu memenuhi keperluan pengusaha pelancongan dari kedua-dua negeri untuk bertukar idea serta mencari input terkini bagi memenuhi kehendak pasaran semasa dalam menyediakan aktiviti percutian yang kreatif dan menguntungkan.

Haryanty berkata projek kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd itu turut bertujuan membantu agensi pelancongan Pulau Pinang menjadi lebih berdaya saing dengan menyediakan tawaran pakej yang pelbagai selain memanfaatkan sepenuhnya setiap aset pelancongan yang terdapat di Johor.

Seorang peserta Khor Saw Kim, 29, berkata program seumpama itu memberi peluang kepada beliau untuk bereksperimen dan mengenali lebih dekat lokasi yang berpotensi menjadi tarikan pelanggan di agensi pelancongannya.

"Cara ini lebih jimat masa dan wang selain kita dapat pergi banyak tempat pada satu masa serta dapat bertukar pandangan dengan wakil agensi pelancongan lain dan melihat apakah prospek yang sesuai dengan bajet serta citarasa pelancong tempatan," katanya.

Terdahulu, dalam program itu peserta dibawa berkunjung ke Johor Premium Outlet, Legoland Malaysia, Puteri Harbour selain melakukan tinjauan di beberapa buah hotel sekitar Kota Iskandar, di sini dan Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment