Usaha menarik pelancong dari Turki dan negara-negara berhampirannya seperti Romania, Azerbaijan, Bulgaria dan Armenia dipergiatkan dengan pembukaan semula pejabat Tourism Malaysia di Istambul.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga menjangka kedatangan pelancong Turki ke Malaysia akan bertambah sempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan.
"Tahun lepas, seramai 9,909 pelancong Turki mengunjungi Malaysia dan jumlah itu menunjukkan peningkatan tiga peratus. Kami menyasarkan 13,000 pelancongnya datang ke Malaysia tahun depan," katanya selepas merasmikan pembukaan semula pejabat itu di Tingkat 20, Harmiz Giz Plaza di Istambul baru-baru ini.
Pejabat Tourism Malaysia itu dibuka pada 2002 dan ditutup pada 2009. Ia dibuka semula pada 2011 dan diketuai Pengarah Pelancongannya Bahruddin Sulaiman.
Walaupun kurang berpuas hati dengan bilangan pelancong Turki ke Malaysia, Mohamed Nazri berkata kementerian melihatnya dari sudut positif dengan mempergiat promosi pakej pelancongan terutama pakej pelancongan Muslim.
Beliau berkata strategi pemasaran yang lebih agresif juga dilakukan Tourism Malaysia dengan memberi fokus kepada minat dan kecenderungan pelancong Turki termasuk menawarkan keindahan pantai, hutan simpan berusia ribuan tahun, alam semula jadi serta syurga beli belah di Malaysia.
"Untuk pelancong Turki, kami fokuskan Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan alam semula jadi selain Langkawi dan Terengganu yang mempunyai pantai yang indah," katanya.
Mohamed Nazri kini dalam misi mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di Turki, Romania dan London sehingga 5 Nov ini.
Turut menyertai misi itu ialah Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancong Malaysia Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Turki menduduki tangga ketujuh sebagai lokasi pilihan pelancong dunia manakala Malaysia di kedudukan ke-10.
Mohamed Nazri berkata Malaysia mampu bersaing dengan Turki untuk menarik pelancong dunia termasuk menawarkan pakej-pakej pelancongan yang tidak boleh dinikmati di negara ini.
Beliau berkata mata wang, pakej murah dan perkhidmatan mesra antara faktor yang pasti menambat pelancong asing ke Malaysia.
"Justeru, kami yakin dapat mencapai sasaran ketibaan 28 juta pelancong pada tahun hadapan," katanya.
Menurutnya pada masa ini, terdapat tujuh penerbangan terus dari Istanbul ke Malaysia menerusi Malaysia Airlines dan Turkish Airline.
"Saya juga akan meminta AirAsia menawarkan penerbangan tambang murah untuk memberi lebih banyak pilihan penerbangan kepada pelancong Turki datang ke Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment