Sunday, November 3, 2013

ASDI Agih Pendapatan 3.0 Sen Seunit Dan Dibayar Pada Disember


Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) membuat agihan pendapatan sebanyak 3.0 sen seunit, dibayar 2.0 sen tunai dan 1.0 sen bonus seunit, bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2013.

Bayaran akan dibuat pada Disember depan.

Dalam satu kenyataan Khamis Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah yang juga Ahli Lembaga Pengarah PTB Unit Trust Berhad, berkata agihan pendapatan itu kekal seperti tahun lepas. 

"Secara perbandingan walaupun agihan sama seperti tahun lepas, namun jumlah pulangan untuk tahun ini 7.29 peratus lebih baik berbanding 7.25 peratus tahun lepas.

"Kadar pulangan ini juga kompetitif jika dibandingkan dengan tabung-tabung lain yang berteraskan syariah mahu pun konvensional," katanya. Bagi tahun kewangan 2013 sehingga 30 Okt 2013, ASDI memperoleh pendapatan berjumlah RM16.72 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.32 juta atau 67.7 peratus disumbangkan oleh keuntungan daripada jualan pelaburan saham, RM4.22 juta (25.24 peratus) dividen saham tersiar harga dan selebihnya sebanyak RM1.18 juta (7.06 peratus) membabitkan pendapatan pelaburan dalam pasaran wang dan lain-lain pendapatan.

"Setelah ditolak perbelanjaan berjumlah RM3.40 juta, peruntukan cukai dan imbangan agihan RM0.081 juta, jumlah pendapatan yang boleh diagih ialah RM13.24 juta bersamaan 3.06 sen seunit berbanding RM12.89 juta bersamaan 3.05 sen seunit bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Berdasarkan keuntungan yang boleh diagih berjumlah RM13.24 juta, ASDI memutuskan untuk membuat agihan pendapatan sebanyak 3.0 sen seunit dibayar 2.0 sen tunai dan 1.0 sen bonus seunit," katanya. Agihan pendapatan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM12.964 juta.

Pengagihan ini adalah bersamaan pulangan sebanyak 7.29 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.4118 pada awal tahun kewangan ini manakala pada tahun lepas agihan pendapatan sebanyak RM12.68 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM0.28 juta atau 2.2 peratus.

Agihan pendapatan ini akan dibuat berdasarkan pegangan pemegang-pemegang unit yang berdaftar pada 31 Okt 2013.

ASDI ialah tabung unit amanah yang berteraskan syariah.

ASDI dilancarkan pada 31 Okt 1994 dengan saiz tabung yang diluluskan berjumlah 500 juta unit.

Sehingga 30 Okt 2013, sejumlah 432.13 juta unit ASDI telah dilanggan oleh seramai 24,129 pelabur. 

Sepanjang tempoh penubuhannya ASDI telah membuat agihan pendapatan berjumlah 77 sen (72 sen agihan tunai dan 5 sen bonus seunit) kepada semua pemegang unit atau purata agihan pendapatan setahun sebanyak 4.05 sen seunit.

No comments:

Post a Comment