Pengendali blog ‘Papagomo’ atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam semalam apabila gagal hadir dalam kes perlanggaran perintah hak jagaan sementara dan penyerahan dua anak perempuannya.
Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili janda Wan Muhammad Azri, Bellina Omar Sharifuddin Cin, 28.
Menurut Mohd. Zaidi, notis tunjuk sebab bagi pelanggaran perintah itu telah diserahkan kepada responden (Wan Muhammad Azri) pada 7 November lalu, pukul 9.41 malam di rumahnya di Taman Danau Kota.
“Dia sendiri terima notis dan tandatangan tetapi gagal beri sebab mengapa tidak hadir pada prosiding sebelum ini (7 November lalu) dan hari ini (semalam).
“Pihak kami juga telah menyampaikan afidavit penyampaian pada 14 November lalu sebagai bukti telah membuat serahan kepada responden,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zaidi berpendapat waran tangkap wajar dikeluarkan kepada responden mengikut Seksyen 151 (1)(a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 berikutan anak guam hampir setahun tidak bertemu anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment