Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) menyumbang RM200,000 kepada 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang kebajikan masyarakat Islam, terutama saudara baharu dan golongan kurang bernasib baik, di negeri ini.
Setiausaha politik kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata kerajaan negeri diamanah mengenal pasti NGO yang aktif bagi melayakkan pertubuhan itu menerima peruntukan, yang kebiasaannya disalur menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun.
"Walaupun tahun ini majlis penyampaian sumbangan agak lewat tetapi ia tetap diadakan, dan setiap NGO yang memenuhi syarat menerima sumbangan antara RM5,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada keperluan persatuan masing-masing.
"Antara NGO yang menerima sumbangan hari ini ialah Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Rumah Anak Yatim Darul Falah serta Perkim Bahagian Negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada majlis perjumpaan dan penyampaian sumbangan YPIIM di Wisma Darul Iman semalam.
Wan Ahmad Nizam juga berharap setiap NGO terbabit dapat menggunakan sumbangan berkenaan sebaik mungkin untuk manfaat anggotanya.
No comments:
Post a Comment