Thursday, November 28, 2013

Kastam Rampas Pelbagai Barangan Dengan Nilai RM421.3 Juta Sehingga 15 Nov

Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas pelbagai barangan bernilai RM421.3 juta melibatkan cukai sebanyak RM321.7 juta dalam tempoh Januari hingga 15 Nov lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa/Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata rampasan kenderaan menduduki tempat paling atas dengan 750 kes melibatkan 1,664 unit kenderaan dengan nilai rampasan RM114.8 juta melibatkan cukai sebanyak RM99 juta.

Beliau berkata ia diikuti rampasan pelbagai jenis dadah yang telah menyamai jumlah rampasan tahun lepas iaitu 117 kes dengan nilai RM105.5 juta.

"Rampasan rokok merupakan komoditi ketiga terbesar melibatkan 2,532 kes yang berkaitan penyeludupan. Kastam juga berjaya merampas 333 juta batang rokok bernilai RM28 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM172.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Isnin selepas menghadiri program kempen mencegah penyeludupan Jabatan Kastam Terengganu bersama pemimpin masyarakat Felda Bukit Bading, Ajil.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.

Matrang berkata rampasan lain termasuk minuman keras, mercun dan bunga api, besi paip dan beras.

Beliau berkata mengikut kajian yang dilakukan pihak tertentu, sebanyak 35 peratus rokok yang berada di pasaran adalah rokok seludup. "Kalau kita terjemahkan dalam bentuk 'market' (pasaran) yang dijual di pasaran, tiga daripada 10 paket adalah rokok seludup," katanya.

No comments:

Post a Comment