Monday, December 2, 2013

137 Premis Kotor Diarah Tutup Di Terengganu

Sebanyak 137 premis kedai makan di Terengganu diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan dari Januari hingga Oktober lepas, berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman (kiri) berkata ini kerana premis berkenaan terlibat dengan keracunan makanan. "Jumlah premis yang diarah tutup tahun ini meningkat berbanding tahun lepas iaitu 133 premis," katanya kepada pemberita selepas Seminar Kebersihan Makanan peringkat negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, Khamis (28 November) lalu.

Beliau berkata secara amnya, tahap kebersihan premis makanan di Terengganu berada pada tahap memuaskan premis yang mendapat gred A setakat Oktober lepas ialah sebanyak 57 peratus berbanding 54 peratus, tempoh sama tahun lepas.

Katanya premis yang mendapat gred B sehingga Okt lalu adalah sebanyak 42 peratus berbanding 42.6 peratus, sepanjang tahun 2012.

Dr Anwa berkata sepanjang tempoh itu juga, Jabatan Kesihatan Terengganu telah menjalankan sebanyak 8,623 pemeriksaan premis makanan dan operasi ini akan dilaksanakan dua kali sebulan.

Beliau berkata selain daripada aktiviti pemeriksaan dan penggredan premis makanan, pihaknya juga menjalankan persampelan makanan bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan.

Katanya sepanjang 2012, sebanyak 1,477 sampel makanan diambil dan dianalisa dan daripada jumlah itu, 99 sampel makanan (6.7 peratus) didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan makanan 1985.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas sebanyak 1,386 sampel makanan dianalisa dengan jumlah pelanggaran sebanyak 59 sampel (4.2 peratus).

Menurut Anwa selain pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara rutin, pemeriksaan secara besar-besaran bersama jabatan atau agensi berkaitan juga telah dan sedang dijalankan sehingga akhir Disember.

No comments:

Post a Comment