Monday, December 30, 2013

400 Penduduk Wilayah Ketengah Sertai Sukan Air

Seramai 400 penduduk di Wilayah Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyertai program Sukan Air Wilayah Ketengah 2013 anjuran Ketengah bertempat di Tasik Puteri Bukit Besi di Hulu Terengganu.

Pengerusi program Che Amran Yaacob yang juga merangkap Pengurus Pembangunan Insan dan Pendidikan Ketengah berkata program yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk di wilayah Ketengah itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berbanding tahun-tahun lalu.

"Program sukan air sebegini memang selalu kita adakan. Tahun lepas kita adakan program berakit, kita hanya mendapat penyertaan dari lima pasukan, tetapi untuk tahun ini kita mendapat penyertaan dari sepuluh pasukan yang mana setiap pasukan terdapat 40 ahli.

"Untuk sukan kali ini, terdapat 12 acara yang dipertandingkan antaranya polo air bertiub, tarik tali atas tiub, baling bola berkayak, lumba kayak kebelakang serta menyelam paling lama," katanya semalam.

Menurutnya, program tersebut turut mendapat penyertaan dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berada dalam Wilayah Ketengah antaranya Bomba dan Penyelamat, Ladang-ladang Ketengah, Kolej Ketengah serta Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bukit Besi.

"Selain acara sukan air, turut diadakan ialah demonstrasi menyelamat di air serta demonstrasi bot kawalan jauh oleh pihak bomba dan sebanyak 10 gerai jualan dari usahawan ketengah turut dibuka. "Hadiah keseluruhan untuk acara yang dipertandingkan adalah kira-kira RM15,000," katanya.

No comments:

Post a Comment