Wednesday, December 25, 2013

Ar-Rahnu Maidam Lulus Pembiayaan Berjumlah RM914.4 Juta Sejak 1992 Hingga Oktober Lepas

Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM914.4 juta dengan transaksi gadaian keseluruhan sebanyak 748,786 sejak ditubuhkan pada 1992 sehingga Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib berkata sehingga September lepas, keuntungan bersih Skim Ar-Rahnu Maidam ialah sebanyak RM2,905,752.

Sehingga kini terdapat sembilan cawangan Ar Rahnu yang dikelolakan Maidam iaitu di Jalan Tok Lam di sini, Besut, Kemaman, Dungun, Pekan Batu Enam dekat Manir, Setiu, Bandar Al-Muktaffi Billah Shah di Dungun, Marang dan Kuala Berang di Hulu Terengganu.

"Daripada jumlah itu, seramai 300,000 pelanggan telah menerima manfaat dari sembilan pajak gadai yang beroperasi seluruh Terengganu," katanya di Kuala Terengganu.

"Ar-Rahnu juga memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 orang setiap tahun yang melibatkan nelayan, usahawan kecil dan sederhana, petani, golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta individu-individu yang memerlukan wang tunai dengan segera," katanya kelmarin.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil berkata skim ini telah membebaskan umat Islam daripada aktiviti riba dan gharar yang dimanipulasi oleh sistem pajak gadai konvensional yang mengenakan caj yang terlalu tinggi.

"Maidam kini dalam perancangan untuk menambahkan lagi cawangan di sekitar pekan-pekan kecil seperti di Bukit Payung, Kemasik dan Kuala Besut bagi memastikan kemudahan itu dapat dinikmati lebih ramai masyarakat yang memerlukan termasuk yang tinggal jauh dari bandar.

"Kita juga akan sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan dan akan memastikan kesemua 33 petugas dapat menjalankan kerja mereka dengan lebih efisen," katanya.

No comments:

Post a Comment