Thursday, December 5, 2013

Banjir - 7,500 Pengguna di Terengganu Terputus Bekalan Air

Kira-kira 7,500 pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu) di beberapa daerah negeri ini mula mengalami gangguan bekalan air sejak pagi ini disebabkan rumah pam di kawasan yang dilanda banjir tidak dapat beroperasi.

Kawasan Ceneh, Cerul, Felda Neram, Kampung Air Putih dan Bandi di Kemaman paling banyak terlibat iaitu 5,100 pengguna setelah rumah pam di Loji Rawatan Air Cerul di tenggelami air dan bekalan elektrik terpaksa dipotong.

Di Hulu Terengganu pula bekalan terjejas di beberapa kampung terutama kampung Tapu dan Pantai Ali melibatkan 1,400 pengguna ekoran paip retikulasi rosak teruk akibat kejadian tanah runtuh di Kuala Kejil. 

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Husain Embong memberitahu, pihaknya turut dimaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong elektrik di kawasan Sungai Pinang, Setiu.

"Langkah itu terpaksa dilakukan kerana pencawang TNB kini di tenggelami air. Oleh itu, pihak kami terpaksa memberhentikan operasi buat sementara waktu.

"Rumah pam air mentah di Loji Rawatan Air Jerangau turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan kerja-kerja pembaikian sedang dijalankan oleh pihak berkaitan," ujarnya.

Katanya, paras air Sungai Tepus, Bukit Besi, Dungun juga sudah melebihi paras berjaga-jaga dan didapati sudah memasuki kawasan loji kawasan itu dan operasi mungkin terpaksa diberhentikan jika paras air terus meningkat.

No comments:

Post a Comment