Thursday, December 5, 2013

Kemaman Terjejas Teruk, Bandar Cukai Turut Lumpuh


Banjir yang kini melanda daerah Kemaman disifatkan lebih buruk berbanding tahun lepas dan melumpuhkan hampir sebahagian besar bandarnya yang terletak di Chukai.

Kemaman merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir di Terengganu berbanding Hulu Terengganu dan Dungun.

Walaupun mangsa yang dipindahkan lebih mencecah 3,000 orang setakat 7 petang semalam di Kemaman, namun jumlah itu dijangka meningkat menjelang malam semalam berikutan air laut pasang.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut meninjau keadaan banjir dan melawat pusat pemindahan sambil menghulurkan bantuan.




Tinjauan Bernama di beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Mentok dan Pengkalan Pandan mendapati penduduk kawasan itu telah meninggalkan kediaman masing-masing kerana kebanyakan rumah mereka ditenggelami air hingga ke paras bumbung.

Seorang penduduk Bandar Baru Bukit Mentok, Norita Abdul, 38, menyifatkan banjir tahun ini lebih ganas berbanding sebelumnya hingga sebahagian kawasan didiaminya tenggelam dek banjir besar. "Keluarga saya hanya sempat mengalihkan sebahagian barangan rumah ke tempat tinggi berikutan air yang naik ke dalam rumahnya dengan mendadak kali ini.

"Tahun lepas, air naik ke rumah tidaklah secepat ini tetapi kali ini sangat berbeza sehingga rumah saya boleh tenggelam hanya nampak bumbung," kata ibu lima anak di Pusat Pemindahan mangsa banjir di Dewan Seri Amar semalam.

 Jaafar Omar, 57, dari Kampung Pengkalan Pandan pula berkata kalau semasa banjir sebelum ini air masuk rumahnya paling tinggi pun hanya separas pinggang namun bencana kali ini lebih buruk.

"Tahun lepas air bah naik hanya paras pinggang. Maka saya pun letaklah barang-barang tinggi sedikit dari paras pinggang. "Namun keesokan bila saya hendak balik ke rumah, Masya-Allah... tengok-tengok tinggal bumbung rumah je, semua tenggelam," katanya yang belum dapat menganggarkan jumlah kerugian dialaminya.

Kemaman kelihatan bagaikan pulau apabila beberapa kampung di Dun Air Putih dan Dun Chukai 100 peratus ditenggelami air dan pusat bandar di Chukai turut lumpuh.

Bencana banjir kali ini juga disifatkan sebagai banjir yang luar biasa dan paling buruk dalam sejarah kerana kawasan yang tidak pernah tenggelam seperti di Felda Cerul, Bandar Cheneh Baru dan Kampung Mak Chili turut dilimpahi air bah.

Kampung yang paling awal tenggelam secara keseluruhan ialah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas di Dun Air Putih iaitu kira-kira jam 10 malam tadi.

Air yang melimpah di Taman Chukai Utama sejak lewat petang kelmarin juga mengakibatkan bekalan elektrik di bandar Chukai dan kawasan kampung sekitar termasuk Kampung Fikri, Dusun Nyior, Pengkalan Pandan dan Kuala Kemaman terpaksa diputuskan secara berperingkat sejak pagi semalam.

Keadaan jalan di Taman Chukai Utama yang menempatkan pelbagai premis bank, pasar raya, kedai dan pejabat yang terpaksa ditutup menjadikan bandar sesak kerana hanya laluan Jalan Sulaimani ke Jalan Jakar boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.

Lebih teruk, Pasukan Bomba dan Penyelamat Chukai yang sibuk dengan kerja membantu mangsa banjir juga berdepan keadaan sukar apabila balai mereka di Taman Chukai Utama turut ditenggelami air.

Situasi sama turut dihadapi Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman apabila pejabat mereka di Kuarters Kerajaan, Jalan Air Putih, turut ditenggelami lebih 1 meter menyebabkan seramai 20 anggotanya yang bertugas terpaksa dipindahkan.

Puluhan kenderaan terapung Paling menyedihkan, gara-gara air naik dengan cepat ramai penduduk di sekitar Jalan Air Putih, Chukai tidak sempat mengalihkan kenderaan menyebabkan puluhan kenderaan kelihatan terapung dan hanyut ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian.

Mangsa banjir dari Jalan Petaling, Kampung Mak Chili, Norzilawati Mansor, 36, berkata, banjir yang melanda daerah ini kali ini sangat luar biasa kerana kawasan penempatannya sebelum ini tidak pernah dinaiki air walaupun pada banjir tahun lalu yang disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 30 tahun.

“Saya sekeluarga sangat takut apabila lihat air naik dengan cepat. Air mulai naik pada jam 3 pagi tadi (semalam) dan ketika keluar dari rumah tadi air dalam rumah sudah separas betis,” katanya yang dibantu oleh JPAM ketika berpindah keluar dari rumah bersama ibun, lima anak dan adik beradiknya kira-kira jam 2 petang. F

Sementara itu, ibu Norzilawati, Aishah Mohamad, 53, dari Felda Cerul yang datang membantu anaknya berpindah berkata, tidak pernah dalam sejarah Felda Cerul banjir tetapi semalam tanah rancangan Felda itu turut banjir. “Makcik datang bantu anak berpindah tapi pada masa sama makcik diberitahu rumah di Felda Cerul juga turut dinaiki air. Semua barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan kerana tak jangka air akan naik di situ,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah Salleh, 45, berkata, kawasan hadapan rumah ibunya di Kampung Mak Chili Paya ditenggelami air separas pinggang. “Rumah ibu saya yang dihuninya dengan bapa dan tiga ahli keluarga lain adalah rumah papan dan tinggi, tetapi rumah masih dinaiki air separas buku lali. Ia menunjukkan banjir kali ini sangat buruk.

“Sejak duduk di sini pada 1983, banjir tidak pernah masuk ke dalam rumah dan ini merupakan banjir yang sangat luar biasa. Seakan tak percaya banjir buruk sebegini berlaku sekarang,” katanya sambil memberitahu ibunya berpindah di Masjid Batu 2 ½ Kampung Mak Chili.

Lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan pusat perpindahan mangsa banjir terpaksa bergelap akibat tiada bekalan elektrik sejak pukul 10 malam Selasa berikutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan eletrik di beberapa kawasan banjir bagi mengelakkan kejadian litar pintas.

Tinjauan di Hulu Terengganu turut mengalami situasi sama seperti di Kemaman di mana kira-kira 25 buah keluarga di Kampung Paya Besar mengalami detik cemas setelah kediaman mereka mula digenangi air akibat hujan berterusan sejak empat hari lalu.

Namun kegelisahan mereka terubat setelah bantuan penyelamat tiba dengan menaiki bot Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan membawa mereka ke pusat pemindahan Balairaya Paya Besar.

Penduduk kampung, Mohd Nasir Salleh, 45, berkata hampir kesemua rumah penduduk dinaiki air sehingga bumbung dan dia tujuh sekeluarga terpaksa berpindah sehelai sepinggang.

"Hujan lebat tidak henti-henti sejak beberapa hari antara penyebab air naik secara luar biasa dan mendadak. Saya boleh nampak haiwan ternakan berenang-renang dan barang rumah seperti tong gas terapung di atas air," katanya.

SH Online & Bernama

No comments:

Post a Comment