Friday, December 13, 2013

Banjir Di Terengganu Hampir Pulih, Hanya Tinggal 784 Mangsa

Mangsa banjir di Dungun membersih dan menyusun kelengkapan rumah.
Hanya 784 mangsa banjir (190 keluarga) masih berada di 10 pusat pemindahan di seluruh Terengganu malam semalam berbanding 1,341 orang (311 keluarga) di sebelah petang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negera (MKN), tiga daerah yang masih terjejas banjir ialah Dungun, Kemaman dan Marang.

Di Kemaman, jumlah mangsa di empat pusat pemindahan ialah 394 orang (80 keluarga) berbanding 846 (187 keluarga) pada sebelah petang.

Ini diikuti Dungun yang mencatat 431 mangsa (102 keluarga) di lima pusat pemindahan di sebelah malam berbanding 473 orang (116 keluarga) sebelumnya.

Jumlah mangsa banjir di Marang pula bagaimanapun kekal 22 orang (8 keluarga) di satu pusat pemindahan yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih.

Sementara itu laporan dari KUANTAN menyatakan jumlah mangsa banjir di Pahang berkurangan kepada 5,398 berbanding 5,539 orang yang direkod petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, berkata setakat 9 malam, kesemua mangsa banjir dari 1,357 keluarga ditempatkan di 65 pusat pemindahan dari 56 penempatan di enam daerah yang terjejas akibat banjir.

Daerah Pekan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,770 orang di 39 pusat pemindahan disusuli Kuantan (724 orang di empat pusat) Maran (724 di 13 pusat), Bera (107 di empat pusat), Temerloh (60 di empat pusat) dan Rompin (13 di satu pusat).

No comments:

Post a Comment