Monday, December 16, 2013

Skuad Bola Sepak Terengganu, T-Team Bantu Kempen AADK

Pemain bola sepak Terengganu, Nor Farhan Muhammad (dua dari kiri), rakan sepasukan dan anggota AADK mengedar risalah Anti Dadah dan mengutip derma bagi mengisi tabung sumbangan untuk mangsa banjir di sekitar Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam usaha menyampaikan maklumat bahaya dadah kepada masyarakat, pelbagai usaha dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), antaranya menyebarkan risalah-risalah berkaitan penyalahgunaan barang terlarang itu. Terbaru, AADK dengan kerjasama pengurusan pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team menyertai Program Ride 4 Care, Ride Serve 2013 anjuran Skuad 1Malaysia dekat Kuala Terengganu semalam.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti cilik Mia Sara dan Imam Muda, Najdi (Wan Najdi Wan Mohd. Noh) yang berkayuh basikal sejauh lebih 10 kilometer bagi mengedar risalah berkaitan. 

Menurut penyelaras program, Mohd. Kamrul Kori,  ini adalah salah satu usaha berterusan yang dilakukan Skuad 1Malaysia dalam membantu pihak AADK memperluaskan kempen memerangi dadah dengan melibatkan bintang bola sepak tempatan dan masyarakat setempat.

Katanya, sempena program itu, pemain bola sepak kedua-dua pasukan menyebarkan pelbagai risalah berkaitan penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi tumpuan ramai, antaranya di Pasar Kedai Payang, Pantai Batu Buruk serta di sekitar Kampung Gong Baru dengan menaiki basikal.

"Alhamdulillah program ini berjalan lancar dan mendapat perhatian masyarakat, selain turut mendapat penajaan, malah dalam program ini, kita turut membawa tabung sumbangan untuk mangsa banjir bagi membantu mereka yang terjejas," katanya ketika ditemui di Pusat Cure and Care AADK di Jalan Pusara, kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Kuala Terengganu, Bazlan Abdul Rahman.

Yang turut hadir Pengerusi Skuad 1Malaysia Terengganu, Azmi Abd. Aziz; Pegawai AADK Kuala Terengganu, Hafiz Hassan dan Presiden Terengganu Heritage Cycling Team, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Pada program itu juga, pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team turut dipilih menjadi ahli Skuad 1Malaysia Daerah Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment