Wednesday, December 4, 2013

Banjir: Lebih 14,000 Mangsa Telah Dipindahkan Di Tiga Negeri

 
Keadaan banjir di Johor, Pahang dan Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin meningkat.

Menurut laporan laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), sehingga pukul 11 malam ini sebanyak 14,038 orang telah dipindahkan di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 6,139 orang diikuti oleh Johor sebanyak 5,552 orang dan Terengganu 2,347 orang.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di tiga daerah, Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu meningkat kepada 2,819 orang malam tadi berbanding 905 pada petang semalam.

ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar meninjau kawasan banjir semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mangsa banjir yang terdiri daripada 724 keluarga itu ditempatkan di 42 pusat pemindahan yang dibuka sehingga pukul 10 malam semalam.

Di Kemaman, jumlah mangsa banjir kian meningkat berbanding siang tadi apabila 1,842 mangsa daripada 454 keluarga dipindahkan ke 29 pusat pemindahan ekoran paras air sungai yang semakin meningkat.

Antara kawasan paling teruk terjejas Felda Seberang Tayor, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Seberang Tayor Hilir, Padang Kubu, Ban Ho, Cerul dan beberapa kampung lain yang berada di kawasan rendah.

Kesemua kawasan itu ditenggelami air antara dua hingga empat meter (m) ekoran hujan lebat sejak tiga hari lepas.

Menurut laporan MKN, di Dungun jumlah mangsa juga meningkat kepada 581 orang berbanding 50 orang pada petang tadi, melibatkan 162 keluarga dengan lima pusat pemindahan dibuka. Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa banjir juga meningkat kepada 396 orang berbanding 94 mangsa pada petang tadi, melibatkan 108 keluarga dan lapan pusat pemindahan dibuka.

Di Kemaman tiga jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala 12 lagi ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air sedalam antara 0.2m dan 0.6m.

Tiga jalan yang ditutup kepada semua kenderaan, Jalan Felda Neram (air setinggi 0.4m), Jalan Sungai Pinang (0.6m) dan Jalan Jerangau-Jabor (0.3m). Jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan antaranya Felda Neram 1, Felda Neram 2, Kampung Tebok, Jalan Neram-Bukit Goh, dan Jalan Jerangau-Jabor (Bukit Besi).

No comments:

Post a Comment