Tuesday, December 3, 2013

Banjir: Maklumat Jalan Yang Ditutup Akibat Ditenggelami Air Di Kemaman

Hujan berterusan yang melanda negeri ini sejak tiga hari lalu mengakibatkan empat buah kawasan di sekitar daerah Kemaman dinaiki air.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kemaman , sebanyak lima keluarga melibatkan 20 orang mangsa daripada Kampung Teladas, Kampung Teluk Kalong, Kampung Batu 14 dan kampung Dadong terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Kalong, Masjid Kampung Batu 16 dan Dewan Orang Ramai Batu 14.

Kesemua mangsa mula dipindahkan tengah hari semalam selepas Bilik Gerakan Banjir Daerah Kemaman dibuka pada pukul 10.30 pagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi bilik gerakan itu di talian 09-8591063.

Sementara itu, pengguna jalan raya di daerah ini dinasihatkan untuk berwaspada seterusnya memilih laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing. Berikut disenaraikan status jalan yang ditutup kerana ditenggelami air:

1) Jalan Sungai Pinang, ditutup kepada semua jenis kenderaan;

2) Jalan Tasik Beku (Kampung Ibok dan Kampung Gajah), ditutup kepada kenderaan ringan;

3) Jalan Ibok (Pondok Limau dan Kijal), ditutup kepada kenderaan ringan;

4) Jalan Kampung Paman, ditutup kepada kenderaan ringan.

No comments:

Post a Comment