Tuesday, December 3, 2013

Kes Mohd Nazri, Norfarhan: FAM Beri Peluang Selesai Cara Baik


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi peluang kepada pihak yang terbabit dalam kes pelanggaran kontrak melibatkan pemain pertahanan Mohd Nazri Ahmad dan pemain sayap Norfarhan Muhammad untuk berbincang dan menyelesaikan perkara itu secara baik.

Setiausaha Agung badan itu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jika kes itu tidak dapat diselesaikan, maka ia akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan pada 12 Dis ini.

"Jawatankuasa akan mendapatkan segala bukti untuk memudahkan proses perbincangan mereka nanti. "Pemain yang didapati menandatangani lebih daripada satu kontrak dengan mana-mana pasukan boleh digantung daripada aktiviti bola sepak dan didenda maksimum," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai Liga Malaysia 2014 kelmarin.

Katanya setakat ini FAM hanya menerima aduan dua kes tersebut yang melibatkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) musim lalu Mohd Nazri yang disenaraikan dalam barisan pasukan Kelantan baru-baru ini serta pemain Kelantan musim lepas Norfarhan yang dilaporkan telah terlebih dahulu menandatangani kontrak dengan Terengganu.

Ditanya sama ada para pemain jelas dengan peraturan yang ditetapkan FAM, Hamidin berkata semua peraturan akan dimaklumkan kepada persatuan negeri atau kelab untuk disebarkan kepada pasukan mereka.

"Peraturan kita sudah jelas. Persatuan perlu beri taklimat kepada pasukan tetapi saya perlu jelaskan. (Perkara) ini merupakan satu fenomena baru dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini," katanya sambil menambah pemain kini cenderung untuk menandatangani kontrak dengan pasukan lain secara diam-diam.

No comments:

Post a Comment