Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan khas RM500 bagi mangsa banjir akan diagihkan kepada mangsa selewat-lewatnya hujung minggu depan.
Beliau berkata pengagihan bantuan itu akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Dalam usaha membantu mangsa, Kolej Kemahiran Tinggi Mara turut menawarkan khidmat baik pulih kenderaan yang rosak akibat banjir.
"Diharap usaha-usaha ini dapat membantu mangsa banjir dalam menjalani kehidupan seharian apabila keadaan pulih seperti sediakala nanti," katanya dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Jumaat.
Pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lepas, Perdana Menteri mengumumkan bantuan kewangan RM500 diberikan kepada setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir.
Banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan disifatkan antara yang terburuk pernah melanda negara membabitkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan.
Setakat ini, Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir teramai yang masih berada di pusat-pusat penempatan, sementara situasi di tiga negeri lain semakin pulih.
No comments:
Post a Comment