Tuesday, December 3, 2013

Cacimaki Babi, Anjing, Macai & Barua...Ustaz Kazim Istihar Keluar Pas



"Saya masih sayang kepada Pas yang dahulu yang dibawa oleh arwah Ustaz Fadzil Noor, yang betul-betul memperjuangkan konsep yang sebenarnya tapi saya kecewa dengan Pas sekarang yang apabila dinasihat, ditegur dikatakan barua dan anjing Umno sedangkan saya adalah anggota Pas dan tidak pernah daftar sebagai anggota Umno."
- Mohammad Kazim Elias 

Pendakwah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim semalam mengumumkan keputusan keluar daripada Pas kerana kecewa dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh pucuk pimpinan dan anggota parti itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, fitnah dan tohmahan itu semakin bertubi-tubi apabila beliau ditawarkan tempat sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, meskipun beliau belum menyatakan pendirian mengenai pelantikan itu.

Lebih mengecewakannya ialah beliau anggota Pas tetapi diserang berterusan dengan panggilan tidak sesuai seperti binatang dan munafik selain ada pimpinan parti itu mengatakan beliau umpama kambing yang dimakan serigala, agamawan celaru serta menjadi berhala atau patung sembahan dalam Umno.

"Kalau mereka mengatakan saya masih Pas, atau selepas kenyataan ini mereka mengatakan saya telah dipecat, tidak kiralah sama ada saya masih anggota Pas atau telah dipecat, saya dengan ini mengisytiharkan saya keluar daripada Pas dan tidak menyokong apa yang telah dibuat fitnah dan kata-kata nista terhadap seorang yang cuba menegakkan Islam melalui bidang dakwah.


"Saya masih sayang kepada Pas yang dahulu yang dibawa oleh arwah Ustaz Fadzil Noor, yang betul-betul memperjuangkan konsep yang sebenarnya tapi saya kecewa dengan Pas sekarang yang apabila dinasihat, ditegur dikatakan barua dan anjing Umno sedangkan saya adalah anggota Pas dan tidak pernah daftar sebagai anggota Umno," katanya.

Ustaz Kazim ditemui selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, berhubung pelantikannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.

Beliau  sudah menjangkakan pelbagai reaksi yang bakal diterima sebaik pengumuman lantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dibuat.

Bagaimanapun beliau kesal, apabila rata-rata komen yang diterima terutama yang dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook bersifat cacian dan cemuhan.

Menurutnya, keadaan itu disifatkan tidak adil sedangkan keputusan sama ada mahu menerima atau menolak perlantikan itu belumpun diputuskan.

“Saya memang sudah jangka akan ada penerimaan dan reaksi negatif seperti ini, tetapi mereka terlalu cepat (menghentam) tanpa mendengar penjelasan, sepatutnya (komen) lebih berhemah.

“Alangkah baik jika semua pihak memandang kebaikan, sekiranya perdana menteri minta tolong untuk martabatkan Islam, apa salahnya saya bantu, mana-mana pihak yang minta nasihat juga akan saya bantu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program Kem Tahsin yang dirasmikan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Pusat Pendidikan Al-Barakah, kelmarin.

Ustaz Kazim adalah antara sembilan individu yang dilantik sebagai ahli MT baru yang diumumkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

Lapan lagi MT yang dilantik ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Umno bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim. Turut tersenarai, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ustaz Kazim yang juga Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Barakah mengakui, komen negatif yang diterima sedikit sebanyak mengganggu emosi ahli keluarganya yang lain.

Katanya, gelaran seperti anjing dan macai yang dilempar agak keterlaluan hingga ada ketikanya membuatkan anaknya sendiri menangis membaca komen sebegitu.

“Saya penat, orang kutuk macam-macam, anak saya sendiri menangis apabila bapanya dipanggil anjing dan barua. Ini membuatkan saya sedih. Orang luar hanya tahu memboikot, tetapi sekupang pun mereka tidak datang untuk melihat tempat kita (Pusat Pendidikan Al-Barakah),'' katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut menegaskan keputusan beliau untuk keluar daripada Pas tiada kaitan dengan pertemuan dengan perdana menteri semalam, sebaliknya memaklumkan bahawa beliau sudah lama bersabar dengan tohmahan dan fitnah terhadap beliau yang turut menjejaskan anggota keluarga yang lain.

"Bertahun-tahun saya sabar dengan finah yang dilemparkan oleh sahabat-sahabat tapi pada dua tiga hari ini, saya rasa kesabaran saya telah sampai kemuncak.

Ada yang panggil sebagai babi, anjing, barua. Saya ada mak dan ayah walaupun dah meninggal, kalau masih hidup, macam mana perasaan ibu saya yang anaknya dipanggil babi.

"Adakah ini perjuangan Pas yang cuba memartabatkan Islam dan menyatupadukan Islam tapi kerjanya memfitnah mengata yang bukan-bukan terhadap saya sedangkan mengatakan saya masih ahli mereka.

Kemudian ada pula kenyataan, Ustaz dipecat lepas tu memang ada usul tapi belum ada surat pemecatan.

Jadi bagaimana keadaan begini, hendak mengurus seorang ahli pun dah timbul masalah besar bagaimana nak uruskan sebuah negara," katanya.

Sementara itu, menjelaskan status pelantikan beliau sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ustaz Kazim berkata beliau menyerahkan semuanya kepada perdana menteri yang juga Presiden Umno untuk mengumumkan perkara berkenaan.

"Saya berbesar hati tetapi saya serahkan kepada PM untuk buat pengumuman rasmi. Saya rasa beliau lebih berhak untuk buat pengumuman," katanya.

Ustaz Kazim berkata, selepas pertemuan hari ini, beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Najib khususnya mengenai peranan yang boleh beliau laksanakan sebagai anggota Majlis Tertinggi.

"Apabila Datuk Seri terangkan kepada saya bagaimana orang agama boleh memainkan peranan dalam Umno dan agensi lain, saya rasa itu bentuk yang baik dan pihak luar perlu pandang baik, orang jemput kita sebab nak dengar nasihat.

"Penerangan yang diberikan puas hati dan yakin apa yang rakyat perlukan dan saya pun suarakan apa yang rakyat biasa inginkan, dan Datuk Seri dengar dengan sangat terbuka dan ada dua tiga benda yang saya lihat terkesan di hati Datuk Seri, dan saya yakin akan ada perubahan selepas ini," katanya.

Pada 29 November lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Ustaz Kazim adalah antara sembilan anggota Majlis Tertinggi yang dilantik bagi melengkapkan jumlah 13 Majlis Tertinggi tambahan yang diputuskan presiden Umno mengikut Fasa 9.2.8. Perlembagaan Umno.

No comments:

Post a Comment